06
Jum, Dis
0 ARTIKEL BARU

Azmin Dilantik MB Selangor, PKR Harus Bersyukur - Penganalisis Politik

Krisis MB Selangor
Typography
daulat tuanku SHAH ALAM -Parti Keadilan Rakyat (PKR) seharusnya 'bersyukur' kerana Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali, dilantik Menteri Besar Selangor yang baharu selepas kemelut berlarutan merebut kerusi nombor satu negeri ini. Penganalisis berpendapat, demi kepentingan semua rakyat Selangor, sudah tiba masanya PKR meletakkan titik noktah kemelut yang dimulakan menerusi 'Langkah Kajang' pada awal tahun ini, yang turut menimbulkan konflik dalaman terhadap kerjasama PKR-PAS-DAP. Pensyarah Geo-Politik Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Mohd Fuad Mat Jali berkata, PKR bakal berdepan dengan kekecewaan rakyat jika terus bertegas mahu melantik Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar. "Mereka (PKR) patut bersyukur kerana masih mendapat restu Sultan (Sultan Sharafuddin Idris Shah) yang melantik wakil dari parti itu menjawat kerusi MB, walaupun bukan individu yang mereka mahukan. "Sedangkan dahulu mereka telah mengundang kemurkaan Sultan kerana menghantar satu nama sahaja (Wan Azizah), walaupun baginda secara jelas meminta supaya lebih dua nama dihantar," katanya kepada Bernama malam ini. Perkara sama diakui penganalisis politik Dr Azmi Hassan, yang turut menyebut pemilihan Mohamed Azmin, 50, anak kelahiran Singapura sebagai MB Selangor ke-15, sepatutnya dianggap sebagai 'langkah permulaan untuk memperbaiki' hubungan dalaman Pakatan Rakyat, khususnya antara PKR-PAS. Azmi, yang juga Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), berkata ini kerana kemelut kerusi nombor satu pentadbiran negeri Selangor itu menyebabkan timbul salah faham antara pemimpin utama parti, sehingga ada cadangan agar kerjasama parti terbabit dikaji semula. Justeru, katanya, pemilihan Mohamed Azmin boleh 'meredakan situasi' kerana 'gentleman agreement' antara parti terbabit, iaitu kerusi MB Selangor milik PKR, masih terpelihara. Dekan Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Ahmad Tarmizi Talib pula berkata, jika masih wujud rasa tidak senang dalam PKR (berhubung pelantikan itu), mereka tidak boleh bertindak terburu-buru, sebaliknya mendengar rasional mengapa Mohamed Azmin mendapat kepercayaan Sultan untuk diangkat sebagai MB baharu. Ahmad Tarmizi berkata, Sultan sebagai ketua negeri sudah pasti telah pun mempertimbang baik buruk pemilihan Mohamed Azmin, terutama untuk menjamin kebajikan rakyat terus terpelihara. "PKR harus ingat bahawa rakyat Selangor bukan hanya terdiri daripada penyokong mereka, juga penyokong Barisan Nasional dan kebajikan mereka sama penting dengan kebajikan penyokong Pakatan Rakyat," katanya. Desas-Desus pelantikan Mohamed Azmin sebagai MB Selangor disahkan Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani ketika dihubungi Bernama pada Isnin malam. Beliau mengesahkan bahawa Mohamed Azmin, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa, sudah menerima surat pelantikan sebagai Menteri Besar dan majlis mengangkat sumpah akan diadakan hari ini di Istana Alam Shah, Klang dekat sini - BERNAMA