06
Jum, Dis
0 ARTIKEL BARU

Exco Selangor: PKR Tinggal Wakil Kaum India Dalam Senarai Exco?

Krisis MB Selangor
Typography
KUALA LUMPUR: Ternyata ahli PKR berketuruan India kecewa dan hampa dengan pilihan senarai Exco Selangor baru yang dipilih oleh Menteri Besar Selangor, Azmin Ali minggu lepas. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar berkata beliau tidak dapat menjawab apabila akar umbi bertanya kepadanya mengapa tiada wakil kaum India dari PKR yang dilantik menjadi Exco. Katanya, keahlian di Selangor terdiri daripada pelbagai kaum dimana 50 peratus adalah kaum Melayu manakala selebihnya adalah kaum bukan Melayu. “Jadi apa salahnya ambil wakil yang mewakili pelbagai kaum kerana rakyat di negeri ini pun terdiri daripada pelbagai bangsa,” tegasnya. Tambah beliau, PKR sering menegakkan konsep politik baru dan pada pendapatnya politik baru bermaksud pembahagian hak sama rata antara kaum Melayu Cina dan India. “Takkan kita masih lagi berpegang dengan cara dan tradisi lama? Kita harus perbaharui konsep mengikut peredaran zaman,” ujar beliau. Beliau yang juga bekas Exco Selangor berkata sejak PKR berjaya merampas Selangor daripada Barisan Nasional (BN), hanya seorang sahaja wakil dari kaum India yang dilantik menjadi Exco. “Saya bukan hanya duduk dan lihat sahaja siapa yang akan dilantik menjadi Exco, saya cuba bertanya sendiri kepada Azmin mengenai perkara ini kerana itu adalah tugas sebagai seorang Adun di Selangor. “Tetapi tiada satu pun jawapan daripadanya sehinggalah senarai nama Exco baru diumumkan,” katanya lagi. Dr Xavier bagaimanapun menjelaskan bahawa beliau faham Azmin mungkin sibuk dengan tugas barunya sebagai Menteri Besar tetapi beliau kecewa dengan tindakan Azmin yang tidak mengendahkan pendapat kaum India daripada partinya sendiri. “Apa-apa pun saya hormati keputusan Azmin sebagai Menteri Besar dalam melantik Exco baru yang akan bekerja dibawahnya”, ujarnya. Menteri Besar Mohamed Azmin Ali menambah satu anggota daripada PKR dan mengurangkan seorang wakil PAS dalam barisan 10 anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor baharu yang diumumkan minggu lepas. Tiga jawatan Exco DAP dikekalkan dan beliau menamakan tiga muka baharu untuk barisan Exco negeri di bawah pentadbirannya. Mereka yang baru dilantik ialah anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Adun Batu Caves Amirudin Shari, kedua-duanya daripada PKR dan Adun Taman Templer Zaidy Abdul Talib daripada PAS. Tujuh lagi anggota Exco yang dilantik merupakan mereka yang telah berkhidmat di bawah pentabiran bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Mereka ialah Adun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong Keat Ping dan Adun Dr Daroyah Alwi (Sementa), kedua-duanya daripada PKR. Turut dilantik semula ialah Adun Sungai Pinang Datuk Teng Chang Khim, Adun Kota Alam Shah V. Ganabatirau dan Adun Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah, ketiga-tiganya daripada DAP. Wakil parti PAS yang dikekalkan ialah Adun Chempaka Iskandar Abdul Samad dan Adun Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi. Yang digugurkan ialah dua wakil PAS, Adun Selat Klang Dr Halimah Ali dan Adun Sabak Sallehen Mukhyi sementara wakil PKR yang tidak dilantik semula ialah Adun Batu Tiga, Rodziah Ismail.