06
Jum, Dis
0 ARTIKEL BARU

#PRKBukitGelugor : MCA Tidak Bertanding

PRK Bukit Gelugor
Typography

KUALALUMPUR : Barisan Nasional tidak akan bertanding pada pilihan raya kecil Bukit Gelugor selepas MCA mengambil keputusan untuk tidak menampilkan calon berasaskan keperluan strategi parti itu, sumber-sumber BN memberitahu. Pengumuman rasmi mengenai keputusan itu dijangka diumumkan oleh ibu pejabat MCA sendiri petang nanti. "Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akur kepada keputusan MCA untuk tidak bertanding dan yang tinggal sekarang hanyalah untuk pengumuman rasmi," sumber itu berkata.

Penamaan calon untuk PKR Bukit Gelugor adalah Isnin ini dan hari mengundi pada 25 Mei. Keputusan MCA itu akan membuka ruang lebih luas untuk DAP mengekalkan kerusi parlimen itu dengan majoriti lebih besar. Tanpa BN, DAP hanya akan berdepan dengan calon-calon bebas dan naib presiden Persatuan Cinta Malaysia Datuk Huan Chen Guan. Seorang ahli PAS, Mohd Nabi Abd Sathar juga mahu bertanding di Bukit Gelugor untuk meningkatkan kesedaran pengundi kubu kuat DAP itu mengenai hudud. DAP akan mengumumkan calonnya untuk PRK itu tengah hari nanti.

Antara nama yang disebut ialah Ramkarpal Singh, anak kepada penyandang kerusi itu Karpal Singh yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya pada 17 April lalu. Difahamkan beberapa pihak di dalam DAP bagaimanapun tidak bersetuju anak tokoh veteran itu "diberikan" kerusi parlimen kerana beliau baru sahaja menyertai DAP. Sebanyak 82,431 pemilih berdaftar terdiri daripada 82,255 pengundi biasa, 148 pengundi awal dan 28 pengundi tidak hadir (PTH) luar negara. Pada PRU-13 yang lalu, pecahan pegundi mengikut kaum adalah; Melayu 15.16% (12,416), Cina 74.25% (60,809); India 10.15% (8,312) dan lain-lain 0.44% (360).