Lisan atau lidah adalah anggota tubuh manusia terpenting dan menjadi satu daripada nikmat Allah yang wajib disyukuri. Dengan lidah, manusia dapat bertutur kata dan berhubung sesama manusia, arahan kepada haiwan dan menzahirkan sesuatu dalam bentuk perkataan kepada Allah.
Gabungan lidah, rongga mulut dan olahan nafas daripada kerongkong melahirkan perkataan dan nada suara sebagai bahasa pertuturan ketika berkomunikasi. Individu tidak mampu bercakap dianggap cacat atau bisu.
Orang yang sempurna kemampuan lidahnya perlu bersyukur dan melahirkan suara enak didengar dan memberi manfaat. Malah, dosa manusia banyak berpunca daripada keterlanjuran mulut yang tidak dikawal. Kata orang kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan merana. Sebab itulah, besar faedahnya sesiapa yang mampu menjaga lidahnya daripada memperkatakan tidak baik.
Rasulullah bersabda bermaksud: “Aku memberi jaminan sebuah rumah dalam kebun syurga bagi orang yang meninggalkan perdebatan, meskipun dia benar. Aku juga memberi jaminan sebuah rumah di tengah syurga bagi orang yang tidak berbohong walaupun sekadar bergurau. Aku juga memberi jaminan sebuah rumah di tempat paling tinggi di dalam syurga bagi orang