26
Rab, Feb
5 ARTIKEL BARU

Lesen Tangkapan Ikan ‘Ali Baba’ Dibatal Atau Tidak Diperbaharui

Kolumnis 1
Typography

Konsep ‘Ali Baba’ yang selama ini merugikan para nelayan tempatan akan diperketatkan pengeluarannya atau tidak diperbaharui lesennya sekiranya didapati menyalahgunakan lesen tersebut.

Ini termasuklah tindakan mereka menyewakan lesen itu kepada nelayan asing bagi mendapatkan keuntungan yang mudah dan cepat.

Hakikatnya, perbuatan itu bukan sahaja merugikan nelayan tempatan, sekali gus menjejaskan pertumbuhan sektor perikanan negeri apabila hasil tangkapan dibawa ke negara asing.

"Perairan Sarawak kaya dengan pelbagai sumber perikanan dan hasil laut hingga mendorong nelayan asing menceroboh perairan kita dan menangkap ikan secara haram. Ini jelas membuktikan betapa makmurnya perairan negeri kita.

"Namun, saya kecewa apabila ada dalam kalangan pemilik lesen perikanan, termasuk nelayan kita bersekongkol dengan nelayan asing terbabit dengan memajak atau menyewakan kemudahan diberikan itu semata-mata mahu cepat dapat untung”, tegas Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Adenan Satem.

Adenan turut menjelaskan sikap tidak bertanggungjawab segelintir pemilik lesen perikanan dan nelayan tempatan itu turut menjejaskan usaha kerajaan negeri memerangi kegiatan pencerobohan nelayan asing di perairan negeri.

"Hasil pemantauan kita juga mendapati ada di antara nelayan kita menjual ikan di tengah laut (kepada nelayan asing). Ini sekali gus menjejaskan bekalan ikan dan hasil laut untuk keperluan domestik, malah banyak rungutan kita terima sejak akhir-akhir ini daripada peniaga ikan tempatan.

"Kita memandang serius kegiatan ini, malah 30 pemilik lesen, termasuk nelayan tempatan sudah diberikan tunjuk sebab berhubung perkara itu. Mereka harus memberikan alasan kukuh mengapa lesen mereka tidak boleh ditarik balik," katanya lagi.

Pada masa yang sama, beliau turut mendedahkan ada di antara pemilik lesen perikanan itu, termasuk nelayan tempatan menyalahgunakan kemudahan berkenaan semata-mata mahu mendapatkan subsidi minyak kerajaan.

"Bayangkan berapa banyak keuntungan mudah mereka dapat, ...tidak cukup dengan `ali baba' lesen kepada nelayan asing, mereka juga dapat subsidi minyak. Ini cukup merugikan ekonomi kita”, tegasnya lagi.