23
Jum, Okt
0 ARTIKEL BARU

Faktor Menyebabkan Pembangkang Kalah Dalam PRN Sarawak Ke-11

Kolumnis 1
Typography

Takut kepada hudud dan pembentukan negara Islam adalah faktor penentu dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak dan alasan inilah menyebabkan DAP percaya mereka tidak boleh bekerjasama dengan PAS dalam pemilihan tahun depan, kata Ketua DAP Sarawak Chong Chieng Jen.

Pengundi yang tidak mahu dikaitkan dengan PAS lebih teruk daripada risiko parti pembangkang seperti PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) bertanding menentang PAS dan Barisan Nasional (BN).

Prospek pertembungan beberapa calon di kalangan parti pembangkang dan BN semakin nyata walaupun pemimpin mereka berusaha memastikan hanya berlaku pertandingan satu lawan satu dalam pilihan raya itu.

Dari segi sejarah dan statistiknya pula,  pertandingan beberapa penjuru akan memberi faedah kepada BN, walaupun sentimen anti nasional digunakan terhadap BN seperti inflasi tinggi dan ekonomi yang lembap.

“Saya tidak fikir gabungan pilihan raya dengan PAS akan berjaya di Sarawak. Saya juga tidak fikir kita akan dapat pertandingan satu lawan satu apabila membabitkan PAS,” kata Chong kepada The Malaysian Insider.

Selain pergeseran dengan PAS, DAP Sarawak, parti pembangkang terbesar di negeri itu, masih belum menyelesaikan rundingan kerusi dengan PKR, parti kedua paling besar di Sarawak, yang memungkinkan akan berlakunya  pertembungan PKR-DAP-BN dan  akan semakin melemahkan pembangkang.

Kekalahan 2011

Dalam PRN Sarawak pada 2001, DAP dibelasah teruk dengan kempen besar-besaran anti hudud dan negara Islam yang digerakkan parti komponen BN, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP).

Ahli Dewan Undangan Negeri Kidurong Chiew Chin Sing berkata kempen itu sangat berkesan hingga menyebabkan semua kecuali 1 daripada 13 calon DAP tewas di kerusi yang mereka bertanding.

Beza yang jelas ialah DAP sebenarnya memenangi 3 kerusi dalam PRN sebelumnya pada 1996.

“Saya ingat lagi mereka cetak 5 risalah, setiap satu dengan gambar grafik hukuman hudud dan diedarkan ke semua kedai dan rumah dalam kawasan kerusi yang kami tandingi,” kata Chiew, yang juga satu-satunya calon DAP berjaya menang pada 2001.

Pesanan dalam risalah itu ringkas saja: undi DAP dan Sarawak suatu hari nanti akan berubah jadi negara Islam dengan hudud atau Kanun Jenayah Syariah sebagai undang-undang.

Ini kerana pada 1999, DAP dan PAS ialah gabungan dalam Barisan Alternatif (BA). Pada masa itu, PAS sudah cuba melaksanakan hudud di Kelantan pada 1993. Menubuhkan negara Islam juga adalah agenda utamanya.

Pengundi bukan Islam, yang juga majoriti di Sarawak, takut dengan mesej dalam risalah itu.

Tidak lama selepas PRN pada 2001 dan merasakan akar umbinya turut menghukum mereka dalam pilihan raya umum yang diadakan pada 1999 kerana bekerjasama dengan PAS, DAP kemudian meninggalkan BA.

“Ini sebabnya mengapa kerjasama dengan PAS amat berbahaya untuk kami,” kata Chiew berhubung perdebatan peringkat nasional pada tahun ini mengenai kempen PAS untuk mendapatkan kelulusan persekutuan bagi melaksanakan hudud di Kelantan.

Faktor Adenan

Sebaliknya, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang baharu berjaya memenangi hati penduduk tempatan bukan Islam kerana menyatakan Sarawak tidak akan pernah mempunyai hudud.

Chong berkata, ia adalah susulan jaminan Adenan sebelum ini bahawa penganut Kristian boleh terus menggunakan perkataan Allah – satu lagi tahap penting keagamaan bagi rakyat Sarawak.

“Jadi Adenan sekarang berada pada kedudukan lebih kuat di kalangan bukan Islam berbanding pembangkang kerana ia masih belum jelas sama ada mereka akan bekerjasama dengan parti yang mahu hudud atau tidak,” kata Chong, yang juga ahli Parlimen Kuching.

Ketua PKR Sarawak Baru Bian, bagaimanapun berkata sejak Pakatan Harapan ditubuhkan, kebimbangan mengenai kerjasama dengan PAS menjadi tidak relevan lagi.

PAS kini tidak berada dalam gabungan baharu, yang terdiri daripada DAP, PKR dan Amanah yang dibentuk bekas pemimpin dan ahli PAS.

Tetapi, Baru terbuka dengan idea rundingan bersama PAS bagi memastikan hanya ada pertandingan satu lawan satu menghadapi BN.

Chong tetap bimbang hubungan saling memahami yang tidak rasmi seperti itu juga boleh dimanipulasikan pesaing Pakatan untuk berkata pembangkang sebenarnya bekerjasama dengan PAS.

Kadar sokongan yang besar terhadap Adenan seperti ditunjukkan dalam kaji selidik Merdeka Center, menjadi petanda kerjasama dengan PAS boleh jadi malapetaka kepada pembangkang.

“Kita mesti putus dengan PAS, jika tidak Adenan akan kaut semua sokongan kita,” kata Chong.

Bersaing Tuntutan

Kebimbangan yang sama besarnya ialah sama ada DAP dan PKR boleh bersetuju dengan persaingan tuntutan untuk kerusi di bandar kecil dan kawasan luar bandar Sarawak, di mana kedua-duanya dilihat mempunyai pertambahan sokongan.

DAP Sarawak sudah menyatakan ia akan bertanding di 30 kerusi, naik 12 daripada kerusi sedia ada pada masa ini.

Projek Impian Sarawak menjadi berjaya menambat hati penduduk pendalaman yang selama ini terabai pembangunannya.

Memandangkan DAP menang di hampir semua kerusi di bandar Kuching, Bintulu, Miri dan Sibu pada pilihan raya 2011, pemerhati berkata kerusi baharu yang diintai parti itu ialah di tempat di mana sebelum ini ditandingi PKR.

“DAP mengintai kawasan Dayak di mana kita bertanding sebelum ini,” kata Baru, yang juga Adun Ba’Kelalan.

Difahamkan, DAP Sarawak berminat dengan beberapa kawasan baharu ini, yang mempunyai populasi besar Dayak bukan Islam, susulan daripada jalinan baik yang terbina menerusi inisiatif Impian Sarawak.

Sejak September 2013, Impian Sarawak menyelesaikan lebih 30 projek yang menyediakan infrastruktur asas bagi masyarakat kawasan terpencil seperti sistem bekalan air, jambatan dan jalan selain lawatan doktor dan doktor gigi secara percuma.

“Jika mereka dakwa mereka boleh buat lebih baik di kerusi berkenaan, maka kita perlu kaji tuntutan itu kerana kita juga banyak berjasa di kawasan terbabit,” kata Baru.

DAP Sarawak juga tidak mahu mengalah daripada tuntutan mereka dan Chong berkata PKR perlu menilai semula kekuatan mereka.

Chong berkata, pada 2011, rakan sekutunya itu hanya menang 3 daripada 50 kerusi yang ditandingi.

“Pada 2011, mereka kata DAP tidak bertanding di kerusi luar bandar hingga mereka terpaksa lakukan semuanya sendiri. Sekarang, bila kita mahu bertanding di kerusi luar bandar, mereka merungut.

“Jadi PKR perlu realistik. Apa kekuatannya? Mereka minta banyak tetapi bolehkah mereka tempuhinya?” -TMI-