21
Isn, Okt

#Parlimen : Hina Speaker, 3 MP DAP Diarah Keluar Dewan 10 Hari

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR – Tiga orang ahli Parlimen daripada parti DAP, diarahkan keluar daripada mesyuarat Dewan Rakyat selama 10 hari kerana menghina institusi Parlimen dan Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Mereka ialah Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas), Nga Kor Ming (DAP-Taiping) dan V. Sivakumar (DAP-Batu Gajah).

Perkara tersebut diumumkan oleh Timbalan Speaker, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menerusi pemasyhuran di Dewan Rakyat, hari ini.

“Usul yang dikemukakan oleh Yang Berhormat ahli Parlimen Beruas, juga tindakan Yang Berhormat ahli Parlimen Taiping dan Yang Berhormat ahli Parlimen Batu Gajah yang membuat kenyataan tidak wajar di media serta enggan memohon maaf merupakan satu perbuatan yang menghina majlis mesyuarat, tidak mengendahkan kuasa yang dipertua Dewan Rakyat sebagai Pengerusi Majlis Mesyuarat dan juga satu perbuatan penyalahgunaan peraturan mesyuarat yang tidak wajar dilakukan oleh seorang Yang Berhormat.

“Ingin saya ingatkan bahawa semua perbuatan dan kenyataan-kenyataan secara bersama yang dibuat oleh ketiga-tiga Yang Berhormat adalah suatu penghinaan terhadap Yang Dipertua Dewan Rakyat yang menjalankan tugas sebagai Pengerusi dewan ini dan bererti penghinaan juga kepada Dewan Rakyat yang mencemarkan nama baik Dewan Rakyat.

“Justeru itu saya memerintahkan Yang Berhormat Beruas, Taiping dan Batu Gajah keluar dari majlis mesyuarat selama sepuluh hari mulai hari ini,” ujar Kiandee.

Ketiga-tiga wakil rakyat DAP itu sebelum ini mendakwa Pandikar menjadi sekutu untuk menutup skandal rasuah apabila menolak soalan atau usul berkaitan 1MDB dan kapal mewah milik Jho Low.