21
Isn, Okt

#Parlimen : MP BN Sambut Baik Akta Berita Tidak Benar

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyambut baik pembentangan Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar 2018 yang mana ia dapat menyekat penyebaran berita tidak benar dan mewujudkan langkah-langkah pencegahan.

Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abd Manap berkata, penyebaran berita tidak benar pada masa kini begitu ketara dan ia boleh menggugat keharmonian masyarkat.

Menurutnya, berita tidak benar ini mempunyai pelbagai kategori oleh itu semua pihak harus memahami sebelum sebarang tindakan dilaksanakan .

“Ahli Parlimen dan Senator dari BN hari ini diberikan taklimat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berhubung dengan akta tersebut.

“Saya yakin selepas adanya akta ini ia dapat melindungi orang awam daripada penyebaran cepat berita tidak benar dan pada masa yang sama memastikan hak kebebesan bersuara di bawah Perlembagaan Persekutuan dihormati,” katanya.

Tambah beliau lagi, akta ini bukan alat bagi memenangi mana-mana pihak dalam menghadapi pilihan raya sebalilknya demi kepentingan negara dan masyarakat.

Sementara itu, Ahli Parlimen Che Mohamad Zulkifly Jusoh berkata, beliau yakin dengan adanya akta ini dapat mengekang berita tidak benar dari terus tersebar.

“Jika kita lihat denda yang dikenakan begitu tinggi termasuk hukuman penjara bagi mereka yang mengadakan, menawarkan dan menerbit berita tidak benar.

“Saya pasti ini akan menjadi pengajaran kepada mereka yang terbabit dalam kegiatan seperti itu,” katanya.

Che Mohamad Zulkifly berkata, selagi kritikan dan berita yang dipaparkan adalah benar kerajaan tidak mempunyai sebarang masalah serta sentiasa menerima dengan terbuka.