21
Isn, Okt

#Parlimen : Kerajaan Giat Promosi Getah Asli Ke Luar Negara - Mah

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR - Lembaga Getah Malaysia telah memainkan peranan yang aktif untuk memperluaskan eksport getah asli di peringkat antarabangsa terutamanya dari sudut promosi, Dewan Rakyat diberitahu.

Menurut Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong, antara aktiviti yang dilaksanakan adalah menganjurkan misi promosi getah asli ke luar negara termasuk China sebanyak dua kali setahun kerana China menjadi destinasi utama promosi getah asli.

Katanya, pada 2017 eksport getah asli negara ke China telah meningkat sebanyak 80% kepada RM6.6 bilion.

“Promosi getah asli juga diadakan di negara-negara pengguna terbesar yang lain seperti Iran dan Jepun. Iran merupakan destinasi ketiga terbesar dengan nilai eksport pada 2017 adalah RM250 juta.

“Pasaran Jepun juga menunjukkan peningkatan. 

“Oleh itu pihak kementerian dan agensi akan mempromosikan getah asli dari Malaysia dalam majalah, persidangan getah dan juga media bagi meningkatkan potensi pasaran getah asli Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Dr Mansor Abdul Rahman (BN-Sik) pada waktu pertanyaan-pertanyaan menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya lagi, kementeriannya telah menyediakan dokumen Dasar Komoditi Negara bagi tempoh 2011 hingga 2020.

Ia menggariskan strategi dan pelan tindakan yang perlu diambil bagi memastikan industri termasuk getah memberikan sumbangan yang signifikan kepada ekonomi negara.

Ketika ini Malaysia merupakan negara pengeluar getah kelima terbesar di dunia.