21
Isn, Okt

#Parlimen : PRABN Perkukuh Sistem Ramalan dan Amaran Banjir – Wan Junaidi

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR - Pusat Ramalan dan Amaran Banjir (PRABN) bertujuan memperkukuhkan sistem ramalan dan amaran banjir negara dengan meningkatkan tempoh masa amaran banjir sehingga dua hari awal.

Menurut Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, amaran banjir ini akan mensasarkan lebih daripada 3.4 juta orang penduduk yang terkesan dengan banjir dan ketika ini berada di fasa yang pertama.

“Hebahan maklumat amaran awal banjir ini akan dapat disampaikan kepada masyarakat termasuk agensi-agensi yang bertanggungjawab kepada bencana banjir khususnya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan lain-lain agensi.

“Sistem ini merupakan satu langkah jangka masa panjang selain daripada dilaksanakan projek tebatan banjir sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) pada waktu pertanyaan-pertanyaan menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya lagi, PRABN akan dilaksanakan di 40 lembangan sungai utama di seluruh negara dalam tiga fasa dengan anggaran kos RM550 juta.

Fasa pertama dilaksanakan pada tahun 2015 hingga 2017 dan fasa kedua akan dilaksanakan pada tahun 2018 hingga 2020 untuk 20 lembangan sungai. 

Manakala fasa ketiga pula akan dilaksanakan pada tahun 2021 hingga 2022 untuk lapan lembangan sungai.