21
Isn, Okt

#Parlimen : RM400 Juta Subsidi Musim Haji 2018 - Timb Menteri

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR – Jumlah subsidi pada musim haji tahun ini adalah dianggarkan sebanyak RM400 juta, Dewan Negara diberitahu.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, jumlah tersebut telah meningkat berbanding RM300 juta pada tahun 2017 di mana subsidi bagi setiap Jemaah haji kali pertama ialah RM12,470.

Menurutnya lagi, kuota rasmi Jemaah haji Malaysia bagi musim haji 2018M/1439H adalah 30,200 orang dan jumlah kuota ini bermula pada tahun lepas.

Jumlah tersebut katanya selaras dengan keputusan kerajaan Arab Saudi yang menetapkan kuota haji setiap negara pada kadar 0.1 peratus daripada penduduk sesebuah negara berasaskan perangkaan Prospek Populasi Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Azizah Harun yang meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah kuota haji 2018 dan berapakah jumlah subsidi yang akan diperuntukkan oleh Tabung Haji pada tahun 2018.