21
Isn, Okt

#Parlimen : Pelaksanaan Skim MSM Perkukuh Harga Minyak Sawit - Timb Menteri

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Skim Eksport Minyak Sawit Mentah (MSM) tanpa duti eksport bagi tempoh tiga bulan telah berjaya mengukuhkan harga pasaran minyak sawit dengan mengurangkan stok komoditi itu.

Menurut Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur, ia berdasarkan peningkatan harga purata minyak sawit mentah (CPO) yang meningkat selepas inisiatif itu dilaksanakan.

Harga purata CPO pada Januari katanya meningkat sebanyak 3.3 peratus kepada RM2,486.50 satu tan, berbanding RM2,408 satu tan pada Disember 2017.

"Pada 31 Januari lalu, iaitu sebulan selepas pelaksanaannya, stok akhir minyak sawit menunjukkan penyusutan sebanyak 6.7 peratus kepada 2.55 juta tan.

"Daripada jumlah itu, stok akhir CPO berkurangan sebanyak 5.7 peratus atau 95,481 tan kepada 1.57 juta tan, manakala stok akhir minyak sawit diproses (PPO) pula menurun sebanyak 8.4 peratus atau 88,932 tan kepada 0.97 juta tan.

"Penurunan ini seiring dengan peningkatan eksport minyak sawit sebanyak 85,815 tan pada Januari lalu, kepada 1.51 juta tan berbanding 1.43 juta tan pada Disember 2017.

"Kesan sepenuhnya MSM dijangka pada penghujung bulan ini," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Zaim Abu Hasan (BN-Parit) di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya lagi, sebelum pelaksanaan skim yang bermula 8 Januari hingga 7 April depan, stok akhir minyak sawit adalah sebanyak 2.73 juta tan pada 31 Disember lalu.

"Harga CPO berada di paras terendah pada Disember tahun lalu, iaitu RM2,407 satu tan, kesan daripada lebihan bekalan minyak sawit di pasaran.

"Paras stok minyak sawit pada bulan itu juga meningkat dengan ketara berbanding 2.55 juta tan pada November 2017," katanya.