27
Sel, Okt

#Parlimen : Kit Siang Digantung Enam Bulan

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen DAP Gelang Patah, Lim Kit Siang digantung selama enam bulan daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat kerana ingkar kepada arahan Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

 

Keputusan tersebut diambil Pandikar selepas berlaku sedikit kekecohan sejurus sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan usul persempadan semula hari ini.

Kekecohan dimulakan ahli Parlimen Klang Charles Santiago yang bertanyakan alasan kepada Pandikar berhubung soalannya yang ditolak berkaitan usul tersebut.

Kekecohan itu berlaku selepas ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) cuba melengah-lengahkan usul persempadan semula daripada dibacakan di dalam Dewan dengan membangkitkan beberapa soalan dan penjelasan daripada Pandikar.

Keengganan mereka untuk duduk walaupun telah diarahkan berkali-kali oleh Pandikar telah mencetuskan perang mulut antara ahli Parlimen PH dan Barisan Nasional (BN).

Beliau kemudiannya memberi amaran akan mengarahkan mana-mana ahli parlimen yang masih berdegil dan enggan bekerjasama keluar sidang Dewan.

Namun begitu, beberapa ahli Parlimen masih lagi berdiri dan menyerang satu sama lain dan enggan menurut arahan Pandikar.

"Sekali lagi berdiri saya akan gunakan kuasa, masing-masing tahu peraturan mesyuarat, keputusan speaker adalah muktamad. 

"Sesiapa yang tidak bersetuju dengan keputusan speaker boleh kemuka usul persendirian silakan buat. Semua ada dalam peraturan mesyuarat. Jangan lengah-lengahkan lagi mesyuarat ini. Siapa ganggu saya tidak beri amaran lagi," kata Pandikar.

Namun begitu Kit Siang masih lagi berdegil dan terus mempersoalkan tindakan Pandikar.

Susulan itu, Pandikar kemudiannya mengarahkan Kit Siang untuk duduk namun beliau masih berdegil.

Pandikar kemudian mengarahkan menteri mengemukakan usul menggantung kehadiran Kit Siang daripada Dewan.

Menggunakan peraturan mesyuarat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said kemudiannya bangun membacakan usul menggantung kehadiran Lim daripada menghadiri sidang Dewan selama 6 bulan.

Usul itu kemudiannya disokong Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim.