27
Sel, Okt

#Parlimen : Kebolehpasaran Graduan Meningkat 4.1% - Idris

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR - Kebolehpasaran graduan universiti pada tahun ini adalah 79.1% iaitu peningkatan sebanyak 4.1% jika dibandingkan pada tahun 2017.

Sementara kebolehpasaran bagi graduan politeknik pula ialah 94.5%.

Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, peningkatan tersebut disumbang inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan oleh kementeriannya.

“Mengikut kajian pengesanan graduan yang telah dilakukan, kita lihat ada peningkatan sebanyak 4.1% kebolehpasaran graduan. 

“Ini untuk universiti keseluruhannya. Untuk politeknik ialah 94.5%.

“Ini adalah hasil daripada langkah yang dilaksanakan oleh kementerian antaranya ialah memperkenalkan satu sistem penilaian pelajar yang dipanggil ICGPA di mana pelajar dinilai bukan hanya dari aspek akademik mereka semata-mata.

“Pelajar-pelajar juga dinilai dari aspek teknikal mereka, kemampuan pelajar untuk menyelesai masalah, kemahiran berkomunikasi, kemahiran pengurusan maklumat dan nilai-nilai keusahawanan pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir (BN-Kulim Bandar Baharu) pada waktu pertanyaan-pertanyaan menteri (MQT), hari ini.

Menurutnya lagi, dengan adanya satu sistem penilaian yang holistik ini, pelajar-pelajar boleh menjadi pelajar yang lebih menyeluruh dan lebih mengetahui keperluan pasaran semasa.