26
Rab, Feb

#Parlimen : 394 Sekolah Daif Dibangunkan Semula - Mahdzir

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR – Sebanyak 394 projek pembangunan semula sekolah daif sedang dilaksanakan di seluruh negara, ujar Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

“Dalam Bajet 2018 Perdana Menteri telah mengumumkan bajet sebanyak RM2.5 bilion untuk sekolah daif di seluruh negara. RM1 bilion untuk Sabah, RM1 bilion untuk Sarawak dan RM500 juta untuk semenanjung.

“Pada waktu ini, kita telah mempunyai 394 projek yang sedang dilaksanakan di sekolah-sekolah daif di seluruh negara iaitu 158 projek di semenanjung, 117 projek di Sabah, 116 projek di negeri Sarawak,” katanya.

Menurutnya lagi, bagi projek di semenanjung ia dilaksanakan sepenuhnya oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) sementara bagi Sabah dan Sarawak dibahagikan antara kementerian pendidikan dengan JKR negeri Sabah dan JKR negeri Sarawak.

Kerja-kerja pelaksanaan pula jelas beliau dilakukan menerusi kaedah Industrial Building System (IBS).

“Sekolah daif yang dipilih untuk pembangunan semula adalah sekolah yang fizikalnya tidak sempurna, tidak berfungsi, tidak selamat dan boleh mendatangkan ancaman.

“Sekolah-sekolah daif yang dipilih ini berdasarkan kepada cadangan daripada Jabatan Pendidikan Negeri dan juga pegawai-pegawai pejabat pendidikan daerah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Dr Mansor Abdul Rahman (BN-Sik) pada waktu pertanyaan-pertanyaan menteri (MQT), di Dewan Rakyat, hari ini.