19
Rab, Feb

#Parlimen : PAC Syor Naikkan Bayaran Bantuan Orang Tua

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bersetuju bahawa Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) seharusnya bertindak lebih proaktif dalam mencari pelbagai alternatif menuju kearah sebuah negara berkebajikan.

Justeru itu menurut Pengerusinya Datuk Hasan Arifin, KPWKM digalakkan untuk meningkatkan kadar bulanan bantuan bulanan Bantuan Orang Tua (BOT) selaras dengan kenaikan kos sara hidup.

Selain itu Jabatan Kebajikan Masyarakat pula perlu menyediakan latihan khusus kepada kakitangan dalam menjaga dan menguruskan warga emas dengan lebih professional.

“Beberapa syor itu dibuat susulan daripada beberapa persoalan yang dibangkitkan, antaranya lima daripada 12 Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) yang dilawati masih masih tidak mematuhi arahan Ketua Pengarah Kebajikan Malaysia yang menghendaki bayaran BOT dibuat melalui bank.Pembayaran secara tunai bagi BOT melibatkan wang tunai sejumlah RM547,200 bagi bulan November 2016.

“Selain itu terdapat kelemahan dalam agihan tunai BOT seperti pengiraan wang secara beramai-ramai tanpa had, kelemahan terhadap proses pengesahan penerimaan dan pembayaran, kad bagi tuntutan kewangan tidak dilengkapi dengan ciri keselamatan, dan terdapat pembayaran BOT kepada penerima yang telah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

PAC Parlimen hari ini membentangkan laporan berhubung bantuan dan perkhidmatan kepada warga emas di bawah KPWKM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Ini adalah penemuan Jabatan Audit Negara (JAN) dalam pembentangan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2016 Siri 1 yang dibentangkan di Parlimen 31 Julai 2017.

Tambah Hasan lagi KPWKM dan JKM perlu memastikan setiap peralatan yang dibekalkan perlu diselenggara dengan baik serta tidak hanya bergantung kepada geran kerajaan semata-mata.

Dalam masa yang sama, PAC juga mahu agensi pengutatkuasa berkaitan memberikan maklumat berhubung siasatan terhadap salahguna bantuan geran.