25
Sel, Feb

#Parlimen : ‘Hantu’ Kit Siang Muncul Dalam Dewan

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen DAP Gelang Patah, Lim Kit Siang berterusan menunjukkan sikap biadapnya apabila tetap muncul pada persidangan Dewan Rakyat walaupun telah digantung enam bulan mulai semalam.

Kemunculannya di dalam Dewan Rakyat telah menimbulkan sedikit kekecohan apabila beliau cuba mengganggu perjalanan majlis mesyuarat.

Susulan itu Menteri Kesejanteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar dan ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi secara sinis menggelarkannya ‘hantu’

Noh menempelak Kit Siang yang tiba-tiba bangun mencelah bertanya kepada Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia sama ada beliau digantung sehari atau enam bulan.

“Saya 23 tahun di dalam Dewan. Suara itu (Kit Siang) saya biasa dengar tetapi saya tidak nampak,” katanya sambil Pandikar meminta Noh meneruskan pembentangan usul berkaitan kementeriannya.

Budiman kemudian bangun sambil berkata beliau juga turut terdengar suara hantu.

Ia kemudian disambut oleh Noh dengan berkata hantu sememangnya tidak faham bahasa.

Kekecohan itu bermula apabila Ahli Parlimen Setiu Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh bangun bertanya Pandikar mengenai status Kit Siang yang digantung semalam tetapi masih ada di dalam Dewan hari ini.

Bagaimanapun, Pandikar hanya menjawab, beliau juga ‘tidak nampak’ Ahli Parlimen Gelang Patah itu walaupun Kit Siang duduk di kerusi tidak jauh daripadanya.

Dewan kermudian panas dengan beberapa ahli parlimen pembangkang bertikam lidah dengan Noh untuk mempertahankan Kit Siang.