01
Kha, Okt

#Parlimen : Pertumbuhan Eksport Barangan Faktor BOP Masih Kukuh - Timb Menteri

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR - Kedudukan Imbangan Pembayaran Negara (balance of payment) BOP negara masih kukuh berikutan struktur eksport negara kini yang lebih pelbagai dari segi destinasi dan produk serta disokong oleh peningkatan daya tahan serta asas ekonomi yang kukuh.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Othman Aziz, ini kerana sehingga 28 Mac 2018, kedudukan BOP meningkat kepada RM38.9 bilion berbanding RM40.3 bilion pada 2017.

Peningkatan tersebut ujar beliau didorong terutamanya oleh pertumbuhan eksport barangan yang memberangsangkan berikutan kepelbagaian rakan dagangan dan produk.

“Kerajaan sentiasa memantau secara berterusan kedudukan akaun semasa dalam BOP bagi memastikan ia kekal mencatat lebihan. Antara usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan bagi mengukuhkan lagi kedudukan BOP termasuk meningkatkan pertumbuhan eksport, meningkatkan daya saing sektor perkilangan dan eksport menarik pelaburan berkualiti tinggi dan mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing kurang mahir,” katanya. 

Tambah beliau, kerajaan turut menambah jumlah ketibaan dan perbelanjaan pelancong asing melalui strategi promosi di bawah Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia.

“Pada tahun 2017, jumlah ketibaan pelancong telah mencatat 25.9 juta pelancong dengan penerimaan akaun perjalanan dalam BOP sebanyak RM78.8 bilion. Kerajaan telah mengumumkan tahun 2020 sebagai Tahun Melawat Malaysia dalam pembentangan Bajet 2018,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan juga telah mengumumkan beberapa strategi dalam Bajet 2018 bagi meningkatkan eksport barang dan perkhidmatan.

Ia termasuklah menyediakan kemudahan kredit perlindungan insurans pengeksport sebanyak RM1 bilion di bawah EXIM Bank, menyediakan kemudahan kredit pembiayaan kepada pengeksport PKS sebanyak RM200 juta, menyediakan RM500 juta bagi program pembangunan dan promosi pelancongan melalui kemudahan infrastruktur pelancongan, homestay dan program eko-pelancongan.