26
Isn, Okt

#Parlimen : MP Pembangkang Keluar Dewan Ketika Undi Belah Bahagian

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR - Ahli parlimen pembangkang sekali lagi menampilkan sikap tidak bertanggungjawab apabila meninggalkan Dewan Rakyat selepas meminta undian belah bahagian ke atas kertas status Kementerian Kewangan berkaitan Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Tindakan tersebut dilakukan apabila mereka mendapati bilangan ahli parlimen kerajaan lebih ramai berbanding pembangkang sebaik persidangan sesi petang bermula 2.30 petang.

Bagaimanapun, proses undian diteruskan yang menyaksikan 101 undi menyokong kertas statut berkaitan GST tersebut manakala undi tidak menyokong kosong.

Terdahulu, selepas Timbalan Menteri Kewangan Datuk Othman Aziz menggulung cadangan sebelum sesi rehat jam 1 tengahari, Ahli Parlimen PKR Kapar G.Manivannan menuntut undian belah bahagian.

Perkara berkaitan kertas statut tidak pernah memerlukan undian tetapi Manivannan sengaja menuntutnya kerana berpendapat bilangan ahli parlimen BN tidak ramai di dalam Dewan berbanding pembangkang justeru boleh menggagalkan kertas statut itu.

Bagaimanapun Timbalan Speaker Datuk Seri Ronald Kiandee menangguhkan proses undian belah bahagian kepada sesi petang.

Antara yang berada di dalam Dewan ketika undian adalah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahli Parlimen pembangkang masuk semula bagi menyertai perbahasan usul Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar yang dibentang selepas itu.