19
Rab, Feb

#Parlimen : CCTV di Sekolah Dipasang Pada Lokasi Strategik - Timb Menteri

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR - Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah dilakukan di kawasan yang sesuai dan tidak bertentangan dengan hak kebebasan atau privasi murid dan juga guru.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan, pemasangan CCTV di sekolah adalah dibuat mengikut kategori sekolah yang berisiko tinggi.

Katanya, pemasangan CCTV dimasukkan dalam skop Kontrak Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Kontrak Perkhidmatan Kawalan keselamatan semasa menetapkan bahawa setiap sekolah yang dikategorikan sebagai sekolah berisiko tinggi dibekalkan dan dipasang dengan lapan kamera dan dua monitor CCTV oleh syarikat kawalan keselamatan yang dilantik.

“Tiga lokasi wajib pemasangan kamera CCTV adalah pintu masuk utama, dalam pondok pengawal dan depan pintu masuk pejabat pentadbiran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada William Leong Jee Keen (PKR-Selayang) di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya lagi, lima kamera selebihnya hendaklah dipasang di lokasi yang ditentukan oleh pentadbir sekolah iaitu di kawasan berisiko tinggi seperti makmal sains, bengkel, koperasi, bilik guru dan pintu masuk asrama.

“Satu monitor CCTV dipasang dalam pondok pengawal atau di stesen pengawal yang ditentukan oleh pentadbir sekolah manakala satu monitor di pasang di pejabat pentadbiran bagi tujuan pemantauan,” katanya.