19
Rab, Feb

#Parlimen : SPAD Tidak Tolak Cadangan Tubuh Tribunal Atasi Isu Pemandu E-Hailing - Nancy

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) buat masa ini tidak bercadang untuk mewujudkan tribunal bagi menangani dan menyelesaikan pertikaian di antara syarikat e-hailing dan pemandu-pemandu e-hailing.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri, ini adalah kerana terdapat satu bahagian di SPAD yang dikenali sebagai Complaint Management Department (CMD) yang menguruskan semua aduan dan isu-isu yang berkaitan.

“Semua aduan dan isu-isu yang diadukan kepada CMD ini akan ditangani secara pentadbiran atau diberi maklum balas berdasarkan isu yang ditimbulkan.

“Walaubagaimanapun SPAD akan mempertimbangkan sekiranya perlu untuk mewujudkan satu tribunal pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) di Dewan Rakyat, hari ini.

Menyentuh mengenai kebajikan pemandu teksi, Nancy menjelaskan di bawah Pelan Transformasi Industri Teksi (TITP) yang telah diluluskan oleh kabinet pada Ogos 2016, beberapa langkah telah dicadangkan bagi menambah baik pendapatan dan kebajikan pemandu-pemandu teksi.

Langkah-langkah tersebut ujar beliau sedang dilaksanakan secara berperingkat.

“Di antara langkah-langkah yang sudah diluluskan dan sedang dilaksanakan adalah pemberian lesen individu dan geran tunai kerajaan bagi pemandu teksi dan kereta sewa yang telah tamat kontrak dalam sistem pajak,” katanya.