25
Sel, Feb

Calon Muda Dalam PRU14 Wujudkan Sinergi Menarik

Sabah
Typography

PENAMPANG - Keputusan kepimpinan Barisan Nasional (BN) untuk melibatkan lebih banyak pemimpin  muda dalam barisan calonnya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) merupakan suatu langkah bijak dan tepat kerana ia akan mewujudkan sinergi  baharu dengan pemimpin lebih berpengalaman dalam parti gabungan itu.

 Calon BN bagi kerusi Parlimen Penampang Ceasar Mandela Malakun berkata adalah sesuatu yang menggembirakan apabila mendapati wujudnya perubahan dalam pola kepimpinan berikutan terdapatnya sikap mempercayai dan menerima dengan fikiran para pemimpin muda untuk menjadi anggota barisan hadapan parti gabungan itu.

 

 "Para pemimpin muda ini merupakan pemimpin pelapis yang akan menerajui Sabah untuk menempuh masa depan dan oleh itu, mereka perlu diberi segala sokongan oleh semua pihak dalam BN," katanya.

 

 Beliau berkata bukanlah sesuatu yang mudah bagi pihak kepimpinan memilih pemimpin muda berbanding begitu ramai mereka yang lebih berpengalaman serta telah membuktikan kebolehan masing-masing dan langkah berani ini bolehlah dianggap sebagai tindakan yang berpandangan jauh.

 

 "Oleh itu, kami berterima kasih kepada pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak kerana merestui pencalonan mereka, termasuk saya, untuk menjadi sebahagian daripada anggota  barisan beliau yang dinamik," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

 Mandela, yang mewakili UPKO pada PRU14, berkata pemimpin generasi  muda akan membantu melonjakkan Sabah dan BN ke tahap lebih tinggi hasil daripada keputusan tepat yang dibuat pemimpin yang ada sekarang.

 

 "Kepimpinan tertinggi menggalakkan pemimpin muda supaya mempamerkan kemampuan luar biasa mereka, mempelajari serta memanfaatkan pengalaman dan peluang yang diberi kepada mereka untuk bertanding," katanya.

 

 Beliau berkata banyak  pemimpin  muda berminat untuk melangkah ke dalam kelompok kepimpinan Sabah dengan memikul tanggungjawab  lebih besar seperti Ketua Pemuda UMNO Sabah Yamani Hafez Musa, timbalan presiden PBRS Arthur Kurup, timbalan ketua pemuda Gerakan Chan Tzun Hei dan Ketua  Upko Komulakan (Pemuda) Ewon Benedick kerana yakin mereka akan menikmati masa depan yang menarik.

 

 Mandela, yang juga pengerusi Majlis Belia KDCA, berkata pemimpin muda yang berkebolehan tinggi tidak  seharusnya hilang semangat disebabkan tanggapan negatif para pemimpin lapuk yang takut untuk menghadapi cabaran baharu apabila negara mengalami transformasi.

 

 "Saya ingin menegaskan sekali  lagi bahawa mulai saat ini, keadaan akan berubah kepada yang lebih baik dan kita tidak seharusnya berhenti setakat menonjolkan hanya segelintir daripada mereka sahaja  kerana transformasi ini perlu juga dipamerkan di segenap peringkat, daripada peringkat akar umbi hinggalah ke peringkat tertinggi dalam kepimpinan BN," katanya.