26
Rab, Feb

Semua Pihak Raih Manfaat Dalam Proses Pembangunan Jika BN Dipilih

Sabah
Typography

KUDAT - Semua  pihak akan meraih manfaat dalam proses pembangunan negara, negeri dan kawasan masing-masing sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi mandat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk terus menerajui kerajaan, kata Bendahari UMNO, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Salleh, yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata rakyat  perlu memberi sokongan padu dan kepercayaan kepada BN yang selama ini sudah terbukti banyak membawa pembangunan kepada negara dan Sabah amnya.

"Sebab itu rakyat perlu memastikan BN mendapat kemenangan mutlak dan saya yakin, dengan kukuhnya perpaduan dan semua calon BN yang bertanding di kawasan Parlimen Kudat mempunyai pengaruh tersendiri?sudah tentu kita (BN) akan menang besar pada pilihan raya umum ini.

"Apabila  pengaruh tersendiri calon BN disatukan, sudah tentu tiga kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen Kudat tetap dimenangi BN dalam PRU14," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat di sini, yang turut dihadiri  calon BN di kerusi Parlimen Kudat, Datuk Abdul Rahim Bakri selain calon di kerusi DUN Pitas Datuk Bolkiah Ismail dan calon bagi kerusi DUN Tanjong Kapor, Datuk Teo Chee Kang.

Sallleh, yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Kota Belud berkata tiada  sebab untuk rakyat di kawasan Kudat menolak BN, kerana kerajaan diterajui BN telah membawa pelbagai pembangunan untuk rakyat di sini.

"Terbaru kerajaan telah meluluskan peruntukan untuk melaksanakan Lebuhraya Pan Borneo dari Tuaran ke Kudat. Saya telah difahamkan bahawa kerajaan telah melantik kontraktor untuk melaksanakan projek mega itu.

"Apabila  Lebuhraya Pan Borneo itu siap, ia akan membawa banyak manfaat kepada rakyat Kudat. Sudah tentunya ia akan membuka peluang ekonomi kepada rakyat di sini dan mewujudkan peluang pekerjaan," katanya.

Beliau berkata tidak dinafikan ada rakyat yang tidak menyokong BN kerana sebab tersendiri.

"Mereka berhijrah ke parti lain (pembangkang) disebabkan perasaan mereka menguasai pemikiran. Namun ia tidak akan berlaku sekiranya pemikiran mereka menguasai perasaan...kerana parti lain (pembangkang) itu tidak mampu untuk menjadi parti pemerintah.

"Parti  itu (pembangkang) hanya timbul apabila menjelang pilihan raya dan selepas pilihan raya mereka tidak timbul lagi," katanya.

Justeru itu, Salleh  meminta semua pengundi di kawasan Parlimen Kudat terus memberi sokongan padu kepada BN untuk memastikan kestabilan, keharmonian serta agenda pembangunan yang dibawa oleh kerajan dapat terus dilaksanakan.

BERNAMA