25
Sel, Feb

Penduduk Yakin Gandingan Ewon, Salleh Rancakkan Pembangunan Di Kadamaian

Sabah
Typography

KOTA BELUD - Kalangan penduduk mukim Kelawat yakin gandingan mantap  calon Barisan Nasional (BN) di kawasan Parlimen Kota Belud Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan  Dewan Undangan Negeri  (DUN) Kadamaian Ewon Benedick  mampu merancakkan lagi pembangunan di kawasan berkenaan.

Penduduk di mukim itu yang majoritinya daripada suku kaum Dusun berpendapat keserasian bendahari  UMNO dan ketua  UPKO Bahagian Kota Belud itu  mampu membawa impak besar terhadap proses pembangunan khususnya di Kelawat yang terletak dalam DUN Kadamaian.

Sualin Tambor, 68, daripada Kampung Sukang berkata hubungan rapat di antara kedua-dua calon BN berkenaan merupakan satu petanda baik untuk meneruskan agenda pembangunan di Kota Belud, khususnya mukim Kelawat.

"Kita lihat sejak dua atau tiga tahun lepas Ewon telah bekerja keras untuk menyalurkan pelbagai bantuan kepada penduduk di kampung kami walaupun pada ketika itu beliau bukan wakil rakyat di kawasan Kadamaian.

"Pelbagai bantuan seperti pembersihan parit, membuat pagar serta menyediakan kursus kepada penduduk kampong... sumbangan itu sangat  bermakna untuk penduduk di sini. Jadi sudah tentunya apabila menang dan menjadi wakil rakyat selepas pilihan raya ini beliau (Ewon), dengan bantuan Anggota Parlimen akan membawa pelbagai kemudahan di sini," katanya kepada Bernama.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini, di kawasan Parlimen Kota Belud, Salleh berdepan pertandingan empat penjuru manakala di DUN Kadamaian, Ewon akan menghadapi  pertandingan lima penjuru.

Pada pilihan raya umum lepas, kerusi DUN Kadamaian yang sebelum ini merupakan kubu kuat BN, terlepas ke tangan pembangkang apabila dimenangi Jeremmy Malajad daripada PKR dengan majoriti 889 undi, namun Jeremmy kemudiannya menjadi wakil rakyat Bebas yang menyokong BN, selepas keluar daripada PKR pada November 2013.

James Dulah, 52, daripada  Kampung Tobur berkata rakyat di kawasan Kadamaian, khususnya di mukim Kelawat perlu berfikiran jauh ke hadapan demi pembangunan di kawasan berkenaan dengan memilih BN.

"Kita tidak mahu kawasan kita sekali lagi dimenangi oleh pembangkang... kerana sudah tentu kita tidak mendapat apa-apa sekiranya kawasan kita dimenangi pembangkang. Kita tidak mahu sekali lagi membuat kesilapan untuk memilih kerana akhirnya hanya kerajaan BN yang mampu membawa pembangunan.

"Oleh itu saya yakin dengan adanya gandingan mantap Ewon dan Salleh, sudah tentu kira-kira 1,300 pengundi di kawasan Kelawat ini akan memilih BN ketika hari pengundian 9 Mei ini," katanya.

Mujik Buggung, 61, daripada Kampung Pahu berkata pengundi di kawasan Kelawat perlu bijak memilih calon yang benar-benar mahu membela nasib rakyat.

"Kita sudah semestinya memilih pemimpin yang dekat dengan rakyat... dari dulu Datuk Seri Salleh merupakan antara pemimpin yang sentiasa mendengar keluhan masalah rakyat di Kelawat ini... apabila ada masalah beliau berusaha membantu penduduk  di sini.

"Manakala Ewon merupakan pemimpin muda yang sering turun padang dan faham apa kehendak rakyat... kita tidak mahu kehilangan pemimpin yang jelas berusaha membantu rakyat.

"Jadi  sebagai pengundi di kawasan Kadamaian, khususnya di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kelawat kita perlu bersatu menyokong calon BN sama ada di peringkat Parlimen atau DUN," katanya.

BERNAMA