26
Rab, Feb

Sabah Maju Ke Hadapan Bersama Barisan Nasional

Sabah
Typography

Kerajaan Negeri Sabah yang diterajui oleh Barisan Nasional adalah sebuah kerajaan yang gigih dan beriltizam tinggi untuk terus berkhidmat dan berbakti; membawa kemajuan dan pembangunan, sekaligus memastikan keamanan dan kemakmuran dapat terus dinikmati oleh segenap lapisan rakyat.

Memperkukuhkan ekonomi negeri dan mensejahterakan rakyat sentiasa menjadi agenda utama Kerajaan Barisan Nasional. Untuk itu, Kerajaan Negeri telah mengambil pendekatan dengan menggunakan strategi melalui pengurusan sumber yang optimum bagi menjana hasil yang maksimum.

Dalam suasana PRU-14 ini, saya ingin menyatakan bahawa sesungguhnya Kerajaan BN sentiasa berusaha untuk memastikan kesinambungan pelaksanaan kesemua program-program pembangunan yang telah dirancang, disamping melipatgandakan lagi pencapaian dan keberhasilan pada masa yang akan datang.

Prestasi cemerlang kerajaan BN Sabah dapat dilihat melalui pencapaian Kerajaan yang meliputi aspek pentadbiran, pengurusan dan pembangunan negeri. Rakyat tentu dapat menilai pencapaian itu menerusi pembangunan fizikal yang dilaksanakan, kemajuan hidup rakyat serta keberkesanan dasar-dasar perlindungan alam sekitar dan alam semulajadi - kekayaan sumber alam yang menjadikan Sabah kian terkenal di serata dunia.

Kerajaan BN Sabah tidak mungkin berupaya mencapai kejayaan ini tanpa sokongan jitu Kerajaan Pusat di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Najib Tun Abdul Razak. Ini diperkukuhkan lagi dengan dokongan padu daripada anggota perkhidmatan awam Negeri dan Persekutuan.

Sesungguhnya, kemajuan dan kemakmuran negeri serta kesejahteraan rakyat adalah matlamat utama Barisan Nasional. Semua itu akan tercapai dengan adanya kesatuan dan perpaduan di kalangan kita.

Tiada siapa yang boleh menafikan bahawa kejayaan yang kita kecapi sejak dua puluh empat tahun yang lalu adalah hasil sokongan padu seluruh rakyat dan kepercayaan yang diberikan terhadap kerajaan.

Inilah bukti kesungguhan dan keikhlasan kerajaan yang ditunjangi oleh Barisan Nasional.

Suka saya ulangi di sini, bahawa Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM4.104 bilion dalam Bajet Negeri untuk 2018, dengan lebihan sebanyak RM64.89 juta. Bajet ini merupakan bajet lebihan (surplus badget) untuk tahun yang keempat berturut-turut.

Ini membuktikan Kerajaan BN berupaya mentadbir dan mengurus kewangan negeri ini dengan cemerlang.

Rizab kewangan negeri telah juga dapat ditingkatkan daripada hanya RM184 juta (satu jumlah yang amat tidak menggalakkan) pada 2002 kepada RM3.74 bilion ketika ini hasil daripada amalan pengurusan kewangan yang cekap dan berhemah.

Kerajaan BN Sabah juga sentiasa memastikan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLCs) hendaklah beroperasi pada tahap optimum dan memastikan "business is not as usual" supaya objektif syarikat tercapai dan keuntungan dapat diraih.

Sehubungan itu, dari 2012 hingga 2016, sejumlah RM1.87 bilion berjaya dikutip dalam bentuk dividen daripada 20 syarikat berkaitan kerajaan. Hasil kutipan ini bukan sahaja menunjukkan ekonomi negeri berkembang pesat, tetapi juga mempamerkan pengurusan yang cekap dan berkesan.

Laporan Ketua Audit Negara turut memperakui prestasi cemerlang pengurusan kewangan Kerajaan Negeri Sabah dengan perakuan "CleanBill" serta penarafan "Triple A" selama tujuh tahun berturut-turut dari tahun 2009 hingga 2016.

Manakala laporan Kajian Pendapatan Isi Rumah tahun 2016 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, menunjukkan jumlah kemiskinan di Sabah berada pada tahap 2.9 peratus, jauh lebih baik daripada sebelumnya iaitu 25 peratus pada tahun 2002.

Purata pendapatan isi rumah bulanan di Sabah juga meningkat sebanyak 4.6 peratus daripada RM4,879 pada 2014 kepada RM5,354 pada 2016.

Program-program pembangunan yang membawa manfaat kepada rakyat, seperti Mini Sejahtera (MESEJ), Ladang-ladang PPRT, Estet, Program Peningkatan Ekonomi Setempat (PPES), Program Kampung Sejahtera (PKS) dan projek-projek pembangunan kecil akan terus dilaksanakan selaras dengan matlamat untuk memajukan rakyat di luar bandar.

Selain itu, pembangunan modal insan yang berkemahiran tinggi akan terus diperhebatkan bagi memastikan Sabah mempunyai tenaga mahir atau mereka yang berkepakaran untuk membawa Sabah ke mercu kejayaan selaras dengan aspirasi Transformasi Negara 2050 (TN50).

Sesungguhnya, apa yang Kerajaan telah lakukan selama ini, adalah atas kesedaran dan keinsafan bahawa rakyat adalah aset paling besar dan utama untuk dibela dan dimajukan. Justeru, kesejahteraan rakyat tetap akan menjadi agenda utama Kerajaan Barisan Nasional sejak dahulu, kini dan selamanya.

Lantaran itu, apa juga yang Kerajaan laksanakan lima tahun yang lalu serta tahun-tahun sebelumnya, adalah siri perancangan pembangunan yang telah disusunrapi demi kemudahan dan keselesaan rakyat. Perancangan lebih besar dan pembangunan jauh lebih hebat akan terus dilaksanakan secara holistik demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat.

Untuk merealisasikan impian yang murni itu, Barisan Nasional memerlukan mandat yang lebih besar agar dapat kita perhebatkan lagi kemajuan dan pembangunan, menjadikan Sabah terus aman dan sentosa, maju dan makmur, demi kesejahteraan hidup kita.