19
Rab, Feb

Badan Agama Bukan Islam, Sekolah Mubaligh Dan Swasta Cina Terus Dibantu

Sabah
Typography

KERAJAAN Barisan Nasional Negeri Sabah sentiasa komited dalam membantu sekolah swasta Cina, sekolah mubaligh serta badan-badan bukan Islam di negeri ini.

Sejak 2004 hingga 2017, sejumlah RM334 juta telah diagihkan kepada pihak-pihak berkenaan bagi membantu pemeliharaan rumah ibadat, program pendidikan serta untuk pembiayaan aktiviti mereka.

Tahun ini, sebanyak RM32 juta diperuntukkan bagi tujuan itu selaras dengan komitmen kerajaan negeri dalam pembangunan pendidikan sekolah Cina dan sekolah mubaligh serta kebajikan badan-badan agama bukan Islam di seluruh negeri.

Jumlah itu adalah sebahagian daripada RM315.3 juta yang diagihkan bagi mengukuhkan pembangunan modal insan di negeri ini menerusi Bajet Negeri Sabah 2018.

Setakat ini, sebanyak 551 badan agama dan sekolah mendapat manfaat daripada peruntukan tersebut, menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu dengan peruntukkan sebanyak RM31 juta.

Pada tahun 2017, sekolah Cina dan sekolah mubaligh menerima peruntukkan sebanyak RM14 juta, manakala organisasi agama bukan Islam menerima kira-kira RM17 juta.

Sejak 2004 hingga 2017, badan-badan agama bukan Islam menerima RM188 juta manakala sekolah menerima sekitar RM145 juta.

Antara penerimanya adalah sembilan sekolah menengah Cina swasta, 83 sekolah kebangsaan jenis Cina, lapan sekolah jenis kebangsaan, 62 sekolah rendah dan menengah mubaligh serta 112 tadika.

Bagi organisasi agama bukan Islam, peruntukan itu memberi manfaat kepada 135 gereja, 122 kuil serta lapan kuil Hindu dan Sikh.