25
Jum, Sep

Sabah Di Landasan Tepat Bagi Sasaran Perindustrian Sabah

Sabah
Typography

SEBAGAI salah satu tonggak utama dalam Agenda Halatuju, kerajaan Barisan Nasional Sabah komited memanfaatkan sektor pembuatan untuk terus memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

Antara tahun 2013 dan 2017, sektor ini mencatatkan nilai pelaburan terkumpul sebanyak RM10.48 bilion dan mencipta 11,416 peluang pekerjaan, sekaligus mempergiatkan lagi pertumbuhan perindustrian di Sabah.

Bagi tahun 2016 sahaja, Sabah menerima pelaburan sebanyak RM3.13 bilion dengan 5,154 peluang pekerjaan diwujudkan melalui inisiatif dan program yang dijalankan Kementerian Pembangunan Perindustrian.

Terus melangkah ke hadapan, di bawah Bajet 2018, kerajaan negeri sekali lagi memperuntukkan RM134 juta untuk memacu dan meningkatkan aktiviti promosi pelaburan serta peluang-peluang perniagaan di Sabah.

Usaha itu turut membantu meningkatkan pembangunan untuk Taman Perindustrian Minyak dan Gas, Sipitang, Kluster Perindustrian Minyak Sawit Lahad Datu, Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah.

Dalam usaha meningkatkan sektor ini, KKIP Sdn Bhd juga meneroka bidang baharu untuk meningkatkan aktiviti perniagaan dan sektor perindustrian di negeri ini yang memberi peluang kepada pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan mengembangkan perniagaan mereka.

Selaras dengan aspirasi kerajaan meningkatkan perkembangan perniagaan PKS Sabah menerusi ekonomi digital, Kementerian Pembangunan Perindustrian juga mengambil inisiatif membangunkan zon perdagangan bebas cukai di KKIP.

Manakala apabila Lebuhraya Pan Borneo siap kelak, ia akan mengubah masa depan Sabah dan Sarawak dengan menjadi tulang belakang pengangkutan dan seterusnya mendorong pembangunan ekonomi rakyat di sepanjang jajaran 2,083 kilometer yang akan mempergiatkan lagi pertumbuhan sosial serta ekonomi di kedua-dua negeri.

Disamping itu, projek Pan Borneo akan memainkan peranan utama membuka koridor ekonomi dan peluang baharu di kawasan sepanjang jajaran lebuhraya berkenaan dengan menyediakan mobiliti yang lebih besar, mengurangkan kos satu lokasi ke lokasi lain sekaligus mewujudkan lebih banyak peluang-peluang perniagaan.

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.