26
Rab, Feb

Sabah Mendahului Usaha Perlindungan Hutan

Sabah
Typography

MELALUI dasar-dasar perhutanan yang pragmatik dan mesra alam, Negeri Sabah kekal menjadi negeri yang utama di Malaysia dalam program perlindungan dan pemuliharaan hutan hujan tropika di dunia. Pendekatan yang diambil oleh Kerajaan Barisan Nasional ini adalah untuk kepentingan generasi masa kini dan yang akan datang.

Sebanyak 53 peratus atau 3.9 juta hektar tanah telah dirizabkan secara kekal sebagai kawasan hutan simpan, kawasan perlindungan dan kawasan pemuliharaan hidupan liar melalui dasar pengurusan hutan lestari.

Kerajaan negeri juga telah memutuskan supaya 30 peratus daripada kawasan hutan hujan tropika bumi Sabah atau 2.2 juta hektar, sebagai Kawasan Perlindungan Menyeluruh (total protected areas) menjelang 2025.

Angka itu kini sudah menghampiri 1.9 juta hektar atau 26 peratus daripada kawasan hutan yang dikenal pasti, melebihi sasaran 10 peratus Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar.

Hutan yang ditanam semula, dipulihkan dan dirawat, juga terletak di dalam kawasan seluas 700,000 hektar dan merupakan yang terbesar di Malaysia.

Kerajaan negeri juga memperkenalkan pelbagai strategi untuk mencapai tadbir urus hutan yang baik, melindungi bukan sahaja hutan tetapi juga hidupan liar. Ini membuktikan kesungguhan dan komitmen Kerajaan BN Sabah terhadap perlindungan dan pemuliharaan hutan di negeri ini.

Semua ini dilaksanakan selepas beberapa dekad pembalakan yang tidak terkawal, kebakaran hutan dan pencerobohan. Kerajaan turut melaksanakan dasar yang kukuh untuk meningkatkan lagi strategi penguatkuasaan bagi melindungi hutan dan hidupan liar. Usaha turut dilakukan bagi mewujudkan hutan rizab yang subur dan produktif.

Bagi kawasan yang tidak dilindungi sepenuhnya, pengambilan kayu masih dibenarkan tetapi hendaklah dilakukan secara mampan tanpa membinasakan alam sekitar, termasuk kawasan tadahan air.

Tiga kawasan utama yang dilindungi sepenuhnya, Lembangan Maliau, Lembah Danum dan kawasan pemuliharaan Imbak Canyon, juga diletakkan di bawah perlindungan penuh Yayasan Sabah.

Kerajaan BN Sabah komited untuk terus mempromosikan negeri ini sebagai pusat penyelidikan hutan hujan tropika yang melibatkan organisasi penyelidikan dalam dan luar negera. Antaranya yang terkenal seperti Royal Society of the United Kingdom, Nature Conservancy dari Amerika Syarikat, Yayasan Abraham, Yayasan Sime Darby, WWF-Malaysia IKEA, Petronas, serta institusi pengajian tinggi utama tempatan dan luar negara.