26
Rab, Feb

Memacu Sektor Pertanian Sabah Untuk Masa Depan

Sabah
Typography

SEKTOR pertanian yang menjadi tonggak rakyat dan termaktub dalam Dasar Halatuju Kerajaan Barisan Nasional Sabah, akan diteruskan sebagai agenda utama dalam pentadbiran Kerajaan Negeri.

Kerajaan pimpinan BN memulakan perancangan 10 tahun bermula 2017 hingga 2026 menerusi Dasar Pertanian Sabah ke-3 untuk memperkukuhkan produktiviti dan daya saing sektor pertanian serta memastikan kemampanan jangka panjang sektor berkenaan di negeri ini.

Ini bukti jelas komitmen kerajaan negeri dalam membangunkan sektor pertanian bagi meningkatkan kualiti, produktiviti dan bekalan yang berterusan, sekaligus meningkatkan pendapatan para peladang, petani, penternak dan nelayan.

Sebagaimana yang dinyatakan, sektor pertanian adalah salah satu daripada tiga teras dalam Dasar Halatuju Kerajaan Negeri, seiring dengan sektor pelancongan dan pembuatan. Pembangunan ketiga-tiga sektor ini, yang kemudiannya ditambah dengan sektor pembangunan sumber manusia, menjadi agenda utama Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, yang berpandangan jauh selaras dengan wawasannya untuk terus memperhebatkan pembangunan bagi merealisasikan transformasi di Negeri Sabah.

Sepanjang tempoh kepimpinannya jua, apa yang terkandung di dalam Dasar Halatuju Kerajaan Negeri telah berjaya dilaksanakan, khususnya dalam sektor pertanian, menjadikan Sabah sebagai pusat kecemerlangan dan perdagangan untuk produk-produk berasaskan pertanian.

Menyedari akan kedudukan kelapa sawit sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi, Kerajaan Negeri juga menggalakkan pengeluaran atau penghasilan produk-produk berasaskan minyak sawit melalui aktiviti hiliran. Langkah itu adalah bagi memberikan nilai tambah kepada produk-produk berasaskan minyak sawit untuk mempelbagaikan serta mempertingkatkan produktiviti sektor berkenaan.

Sektor pertanian menyumbang kira-kira 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2016, dengan kedudukan negeri ini yang terus menjadi pengeluar minyak kelapa sawit terbesar negara. Nilai eksport bahan kimia berasaskan sawit juga meningkat dengan ketara daripada RM43.2 juta pada tahun 2012 kepada RM554.2 juta pada tahun 2016.

Pelan tindakan untuk menangani pelbagai isu dan cabaran yang dihadapi oleh sektor pertanian juga dilaksanakan dengan meningkatkan infrastruktur asas, pusat pemprosesan, penyelidikan pertanian, meningkatkan bilangan buruh mahir dan insentif pelaburan khusus untuk perniagaan berskala besar dan keselamatan bio.

Dasar pertanian negeri yang pertama telah dilancarkan pada tahun 1992 sehingga 1998, manakala untuk tempoh yang kedua bermula dari tahun 1999 hingga 2016. Sejak 2017, dasar pertanian negeri mula memasuki fasa yang ketiga yang dianggap fasa paling mencabar dengan beberapa perancangan besar untuk pembangunan sektor pertanian di negeri ini.

Dasar Pertanian Negeri digubal bagi memperkukuhkan pertumbuhan produktiviti dan daya saing sektor pertanian sebagai sektor terpenting dalam kehidupan dan kesejahteraan rakyat serta kemajuan negeri.