25
Sel, Feb

Kemajuan Memberangsangkan Untuk Sektor Minyak Dan Gas Di Sabah

Sabah
Typography

TINDAKAN meyakinkan yang diambil oleh kerajaan Barisan Nasional Sabah menjadikan negeri ini lokasi tumpuan kepada pemain industri minyak dan gas dunia untuk melabur dan membantu perkembangan industri berkenaan.

Kebanyakan infrastruktur sokongan serta dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bersabit pembangunan industri minyak dan gas ini adalah di bawah kepimpinan dinamik Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman.

Ini membolehkan pemain tempatan membina kapasiti mereka untuk melaksanakan projek-projek utama yang dikeluarkan oleh syarikat minyak dan gas negara Petronas atau syarikat multinasional yang berminat dengan industri di Sabah.

Kunci pembangunan utama yang dijalankan ketika ini termasuk Taman Industri Minyak dan Gas Sabah (SOGIP) di Sipitang, Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis serta Saluran Paip Gas Sabah (SSGP) yang merentasi kira-kira 500 kilometer dari terminal ke Bintulu, Sarawak.

Di pesisir laut, aktiviti minyak dan gas masih aktif beroperasi dan terdapat Pusat Latihan Petroleum Kimanis yang mampu menyediakan pekerja mahir bagi menyokong industri, stesen jana kuasa Kimanis serta usaha memperoleh kepentingan 10 peratus di syarikat Liquefied Natural Gas Sdn Bhd 9, di Bintulu yang dimiliki Petronas.

Perkembangan di pantai barat Sabah ini akan menyaksikan SOGT mempunyai kapasiti mengendalikan 260,000 tong minyak dan 1,250 juta kaki padu gas asli setiap hari yang dibekalkan Kawasan Galian Gas Kinabalu di barat daya negeri menerusi saluran air sepanjang 120 kilometer bawah laut.

Stesen jana kuasa Kimanis juga mempunyai kemampuan menghasilkan 300 megawat bekalan elektrik dan digunakan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat di seluruh negeri.

Selain itu, terdapat juga Kompleks Ammonia dan Urea Sabah (SAMUR), kilang baja ketiga di negara ini yang dikendalikan Petronas dengan kapasiti menghasilkan 2,100 tan baja setiap hari atau maksimum 1.2 juta tan setahun. Kemampuan SOGIP juga berjaya menarik RM11 bilion dalam bentuk pelaburan.

Penglibatan negeri Sabah dalam industri minyak dan gas diperkukuhkan lagi dengan pewujudan Sabah International Petroleum Sdn Bhd. SIP ditubuhkan pada 2014, merupakan sebuah badan pelaburan di bawah seliaan Bank Pembangunan Sabah, menjangkakan masa depan yang cerah untuk negeri Sabah dalam sektor ini.

Berikutan kenaikan harga minyak mentah dan gas asli, kerajaan negeri turut mendapat manfaat daripada kenaikan itu dengan menerima royalti petroleum daripada Petronas sebanyak RM1.246 bilion pada tahun lalu.

Jumlah itu melebihi pernyataan asal RM985 juta dan ini merupakan royalti petroleum tertinggi yang pernah diterima dalam sejarah negeri. Tahun ini royalti petroleum dijangka terus meningkat kepada RM1.318 bilion, iaitu 31.6 peratus daripada hasil negeri.