25
Sel, Feb

Lima Pemimpin Parti Cinta Sabah Keluar Parti

Sabah
Typography

TUARAN - Lima pemimpin Parti  Cinta Sabah (PCS), termasuk dua daripada PCS Bahagian Kiulu, melepaskan semua jawatan dalam parti itu, satu daripada parti pembangkang di Sabah, dan keluar daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Mereka ialah speaker (pengerusi tetap), ketua penerangan dan pengarah unit media & komunikasi parti itu Lesaya Lopog; setiausaha agung John Hussein; anggota exco Wanita Anita Kokum; anggota jawatankuasa dan setiausaha pengelola Joslin Ludsum; dan penolong pegawai penerangan Hillary Gindayuk.

Lesaya ialah pembantu  presiden parti Datuk Wilfred Bumburing, yang bertugas  sebagai setiausaha akhbar beliau sejak 18 tahun lepas.

Kelima-lima mereka menyerahkan surat peletakan jawatan kepada setiausaha agung PCS hari ini.

"Kami  sudah  sampai ke peringkat di mana kami kecewa dengan cara parti ini bergerak dan ini menyebakan kami hilang keyakinan terhadap parti dan pemimpinnya.

"Maka, apa yang diperlukan ialah sebuah parti politik, yang pemimpinnya terus dihormati para pemimpin dan anggota peringkat akar umbi," kata mereka dalam kenyataan akhbar bersama di sini hari ini.

Menurut kelima-lima bekas pemimpin itu, mereka berganding bahu sejak Angkatan Perubahan Sabah (APS) ditubuhkan serta "merupakan perintis APS dan kemudian PCS di Kiulu, selain membantu menganjurkan program dan aktiviti PCS di kawasan lain di Sabah sejak 2012".

Sementara itu, kelima-lima mereka dikatakan akan membuat keputusan tentang masa depan masing-masing dalam politik, esok.

Pada 22 Mac, lapan anggota majlis tertinggi, termasuk tiga timbalan presiden PCS meninggalkan parti itu dengan memberi  alasan terdapat perbezaan  dari segi ideologi dan bimbang dengan tindakan parti itu memilih sekutunya untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

PCS dan Parti Anak Negeri (Anak Negeri), satu lagi parti pembangkang di negeri ini, menubuhkan kerjasama untuk bertanding di 11 kawasan Parlimen dan 29 kawasan Dewan Undangan Negeri pada PRU14.

BERNAMA