25
Jum, Sep

BN Tidak Pernah Pinggirkan Kaum Cina

Sabah
Typography

LAHAD DATU - Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tungku, Mizma Appehdullah menegaskan bahawa BN tidak pernah meminggirkan komuniti Cina sebaliknya terus komited membawa kemajuan untuk kaum berkenaan.

Mizma berkata, perhatian yang penuh itu akan diteruskan dan dibuktikan apabila komuniti berkenaan memberinya mandat untuk memenangi kerusi DUN Tungku dan menjadi wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). 

"Apabila saya diberi mandat itu, saya akan pastikan agar semua kaum termasuk kaum Cina mendapat manfaat yang sewajarnya dalam aspek pembangunan, sosioekonomi mahupun pendidikan.

"Ini kerana, kita memandang serius semua masalah yang dihadapi rakyat tanpa mengira perbezaan agama, kaum dan warna kulit khasnya di Silam," katanya semasa beramah mesra bersama masyarakat kaum Cina di Bandar Tabanak dekat sini, semalam.

Sementara itu, semasa menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat di Tambisan, Mizma berkata, beliau akan terus memperkasakan golongan wanita di samping membawa lebih banyak pembangunan dan kemajuan di kawasan berkenaan.

"Jika saya menang, saya akan datang dan berusaha membawa lebih banyak pembangunan di sini termasuk kerja menaik taraf jeti Tambisan darat," ujarnya.

Sehubungan itu, Mizma berharap pengundi kawasan berkenaan memberi sokongan padu kepada BN bagi memperhebatkan lagi taraf hidup rakyat.

BERNAMA

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.