26
Rab, Feb

Musa Serah Geran NT Dan Komunal Kepada 10 Kampung Di Tambunan

Sabah
Typography

TAMBUNAN - Seluas 2,155. 513 hektar geran Tanah Anak Negeri (NT) dan geran Komunal telah diserahkan oleh Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Haji Aman kepada penduduk melibatkan 10 buah kampung di daerah ini.

Bagi penerima geran Tanah Anak Negeri (NT) adalah seluas 536.513 hektar melibatkan 287 geran iaitu terletak di kampung Kirokot sebanyak 35 geran, Kampung Patau sebanyak 68 geran, Kampung Sunsuran 39 geran, Kampung Toboh sebanyak 20 geran, Kampung Lintuhun sebanyak 60 geran, Kampung Nambayan sebanyak 27 geran dan Kampung Monsolurung sebanyak 38 geran.

Manakala, bagi geran komunal adalah seluas 1,619 hektar dengan bilangan benefisiari seramai 181 orang ketua keluarga merangkumi tiga buah kampung iaitu Kampung Tiong, Kampung Pialungan dan Kampung Widu.

Musa ketika berucap merasmikan majlis itu berkata, penyerahan geran NT dan geran Komunal ini merupakan keperihatinan kerajaan kepada penduduk kampung yang memerlukan tanah untuk mengusaha tanaman dan pertanian untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka.

“Penyerahan geran ini adalah atas usaha pemimpin disini bersama kakitangan kerajaan untuk berkejasama menunaikan hasrat orang- orang kampung supaya tanah- tanah kerajaan Anak Negeri ini dan geran komunal dapat diberikan kepada masyarakat kampung yang sangat memerlukan untuk kegunaan mereka dalam menjalankan aktiviti pertanian atau penanaman,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Geran Tanah Anak Negeri (NT) dan Geran Komunal Daerah Tambunan sempena Program Pemimpin Bersama Rakyat, di sini pada Selasa.

Beliau turut menasihati penerima geran tersebut agar dapat mengusahakan tanah- tanah tersebut sebaik mungkin untuk menjalankan aktiviti yang dapat meningkatkan taraf hidup mereka.

Katanya, penerima geran tanah komunal ini juga sangat beruntung kerana mempunyai keistimewaan di mana penduduk yang memiliki geran ini adalah secara berkekalan kerana tanah geran komunal tidak boleh dijual.

Jelasnya, Geran Komunal boleh diwariskan secara turun temurun dari generasi ke generasi dan boleh dibangunkan secara usaha sama dengan pihak agensi kerajaan atau swasta atau mengusahakannya sendiri jika ada kemampuan masing-masing.

Beliau turut menyeruh kepada yang masih belum menerima geran tanah di daerah ini agar dapat bersabar kerana Jabatan Tanah dan Ukur berkenaan akan berusaha mempercepat melakukan pengukuran seterusnya mengeluarkan surat pemilikan geran tanah kepada mereka yang layak.

Sementara itu Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Sabah, Datuk Haji Safar Untong berkata, bakal ada 2000 hektar geran tanah lagi yang telah dipohon dan sudah diluluskan bakal diberikan geran selepas proses pengukuran di daerah ini selesai.

Selain itu katanya, wakil-wakil rakyat boleh mensyorkan kepada kerajaan negeri jika terdapat tanah-tanah yang telah diduduki secara turun- temurun untuk membolehkan Jabatan Tanah dan Ukur memasukan dalam Program Pengukuran Pantas untuk pengeluaran geran-geran pantas di daerah ini.

Beliau turut menasihati kepada penerima geran tanah agar jangan menjual tanah- tanah tersebut kerana tanah adalah harta paling berharga dan boleh dimiliki secara turun-temurun.

Turut hadir dalam majlis itu, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Setiausaha Politik, Kementerian Tenaga, teknologi Hijau dan Air, Datuk Daniel Kinsik; Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman; Pegawai Daerah Tambunan, Thomas Logijin dan Timbalan Presiden SAFA, Datuk Lawrence Gimbang.

NEW SABAH TIMES