26
Rab, Feb

Pantai Kg Pimping Berpotensi Destinasi Pelancongan - Arifin

Sabah
Typography

MEMBAKUT- Pantai Kampung Pimping berpotensi untuk dimajukan untuk dijadikan satu lagi destinasi pelancongan bukan saja penduduk sekitaranya malah dari luar, kata Datuk Haji Mohd Arifin Arif.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri itu berkata apabila dimajukan ia sudah tentu memberi manfaat khusus kepada penduduk Kampung Pimping dan Binsulok yang akan memberi peluang penduduk menjalankan perniagaan.

Beliau berkata sebanyak 50 gerai makan dan minum sudah didirikan oleh penduduk kampung yang sudah tentu akan memberikan rezeki dan menambahkan sumber pendapatan mereka.

“Kita akan berusaha memajukan pantai ini dengan menaiktaraf infrastruktur dan prasarananya seperti menyediakan jalan raya yang baik, mengwujudkan bekalan air dan elektrik serta menaiktaraf semua 50 gerai pengusaha yang sedia ada,” katanya.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Parlimen Kimanis itu berkata demikian semasa merasmikan Majlis Santai Seni bersama Rakyat yang diadakan di Pantai Kampung Pimping pada Ahad.

“Pantai yang indah sejauh lebih kurang sepanjang 5 kilometer ini juga yang mempunyai keindahan tersendiri ini juga bakal menjadi persinggahan mereka yang melalui jalan pantai ini disebabkan kedudukannya yang menjadi strategik untuk dikunjungi khusus mereka yang datang dari Labuan-Kuala Penyu –Binsulok dan Kampung Pimping –Kota Kinabalu demikian juga sebaliknya,” katanya.

Calon Barisan Nasional bagi Dewan Undangan Negeri Membakut itu juga berkata idea untuk memajukan Pantai Pimping ini telah dicetuskan oleh penulis-penulis yang pernah datang ke Membakut dan Kampung Pimping baru-baru ini yang mana mereka telah menyaksikan keindahan pantai itu dan beliau menerima cadangan yang baik ini.

“Di Pantai Kampung Pimping ini kita juga akan mendirikan balai seni untuk menjadi tumpuan aktiviti penulis bagi menambahkan keceriaan pantai ini,” kata Arifin

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Abang Salehuddin Abang Syukran, Presiden Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) Datuk Jasni Matlani dan Ketua Ikatan Penulis Sabah (IPS) Hasyuda Abadi, pemimpin masyarakat setempat.

NEW SABAH TIMES