25
Sel, Feb

Stesen Janakuasa Suria Terbesar Di Kudat Mula Beroperasi Bulan Ini

Sabah
Typography

KUDAT - Stesen penjanaan tenaga suria terbesar di Malaysia iaitu berkapasiti 50megawatt (MW) di Lausan, dekat sini telah siap dan mula beroperasi bulan ini.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata stesen janakuasa suria  yang dikendalikan Tadau Energy Sdn Bhd (TESB) itu dijangka  membekalkan elektrik kepada 10,000 rumah, sekali gus menstabilkan bekalan elektrik kepada penduduk di sekitar Kudat.

"Projek suria itu bukan sahaja telah mencipta sejarah sebagai projek suria berskala besar yang pertama disiapkan di Malaysia, ia turut mencipta sejarahnya tersendiri apabila kaedah pembiayaan bagi projek ini dibuat melalui penerbitan sukuk hijau bernilai RM250 juta adalah patuh syariah pertama di dunia.

"Projek ini telah mendapat pengiktirafan tertinggi oleh Centre for International Climate and Environmental Research, iaitu salah sebuah badan bebas pengiktirafan inisiatif hijau yang berpangkalan di Oslo, Norway," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran  stesen janakuasa itu di sini, hari ini yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman.

Beliau berkata stesen janakuasa suria itu merupakan salah satu daripada projek yang telah diluluskan di bawah Program Solar Berskala Besar yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan bagi meningkatkan penjanaan elektrik daripada sumber Tenaga Boleh Baharu.

Ongkili berkata di bawah program itu kerajaan telah meluluskan peruntukan kouta sebanyak 200MW bagi kerajaan negeri Sabah sehingga 2020, selain projek suria dengan kapasiti sebanyak 43.76MW di bawah Program Feed-in Tariff (FiT).

"Keseluruhan 243.76MW untuk Sabah itu merupakan 18.9 peratus daripada keseluruhan  kapasiti tenaga suria yang diluluskan di Semenanjung dan Sabah.

"Oleh itu sebagai rakyat Sabah, khususnya di Kudat kita harus berbangga dengan pencapaian ini yang meletakkan Sabah  setanding dengan negara lain yang menggunakan tenaga suria.

"Keseluruhan Kudat kini memerlukan 19MW untuk kegunaan semua penduduk dan kapasiti semasa yang ada di Kudat adalah 110MW termasuk 50MW tenaga suria dan selebihnya kapasiti tenaga elektrik  itu telah disalurkan ke bebarapa daerah lain di negeri ini," katanya.

Sementara itu, Musa menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana telah meluluskan projek pembinaan stesen janakuasa suria  terbesar itu di Sabah.

"Rakyat Kudat sangat bertuah kerana mempunyai stesen janakuasa solar (suria) besar yang berlebihan dan boleh disalurkan ke kawasan lain di seluruh Sabah.

"Projek ini dapat dilaksanakan disebabkan pemimpin kita (Ongkili) sangat dekat dengan perdana menteri?beliau boleh minta apa sahaja daripada Najib. inilah kerajaan yang diterajui  BN, kita  sentiasa prihatin dengan semua rakyat di negara ini," katanya.

BERNAMA