25
Sel, Feb

Kemeriahan Kempen PRU14 Di Sabah Masih Belum Terasa

Sabah
Typography

KOTA KINABALU - Walaupun tempoh kempen untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sudah memasuki hari keenam sebelum hari mengundi pada 9 Mei ini, kemeriahan kempen parti-parti politik yang bertanding di kebanyakan kawasan di Sabah masih boleh dianggap pada tahap sederhana.

Di kawasan  bandar-bandar utama seperti Parlimen Tawau, Kota Kinabalu  dan Sandakan umpamanya, ketika berita ini ditulis,  kebanyakan poster, kain rentang, papan iklan dan dan lain masih kurang dan didominasi oleh parti komponen Barisan Nasional (BN).

Di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjong, Apas dan Balung dan dalam kawasan Parlimen Tawau, sebagai contoh, belum ada poster calon-calon pembangkang seperti Parti Warisan Sabah (Warisan), DAP dan PKR dipasang manakala poster calon parti politik lain seperti Pas dan Harapan Rakyat masih sedikit dan tenggelam dikerumuni poster calon BN. 

Papan iklan, bendera dan gegantung calon-calon parti pembangkang di beberapa lokasi belum mampu menyaingi bendera dan papan iklan BN dari  segi bilangannya.

Seperti PRU13 lalu, gambar calon pada gegantung DAP memperlihatkan gaya menggenggam penumbuk, calon PKR mengangkat tinggi tangan kanan manakala calon BN selain bentuk 'posing' ada juga calon guna papan iklan lakaran atau lukisan wajah mereka seperti dibuat calon Parlimen Tawau Datuk Mary Yap Kain Ching dengan tulisan 'Undilah Kak Mary'.

Kurang jelas mengapa bilangan poster dan papan tanda parti pembangkang masih terlalu kurang. Mungkin juga itu strategi kempen mereka dengan menganggap lima hari pertama kempen cuma sebagai tempoh ‘pemanas badan' sebelum membuat ‘pecutan' pada enam hari berikutnya.

Yang jelas kebanyakan pemimpin parti dan calon yang bertanding dilihat lebih menumpukan perhatian kepada lawatan ke pusat Pusat Daerah Mengundi (PDM) masing-masing untuk memastikan aktiviti kempen jentera PRU mereka berada dalam keadaan baik serta menganjurkan sesi-sesi ceramah berskala kecil untuk penyokong dan pengundi.