17
Sel, Sep

Penduduk Harap BN Mampu Rampas Semula Kerusi DUN Tamparuli

Sabah
Typography

TUARAN - Penduduk Tamparuli berharap Barisan Nasional (BN) mampu merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan itu yang kini disandang oleh wakil rakyat parti pembangkang.

Rata-rata penduduk ditemui melahirkan keinginan untuk melihat BN memenangi DUN Tamparuli pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini sekali gus menerajui kawasan tersebut bagi tempoh lima tahun akan datang.

Seorang penduduk Danish Sua, 32, dari Kampung Bontoi berkata wakil rakyat pembangkang di kawasan itu gagal melunaskan segala janjinya pada PRU13 sehingga membuatkan penduduk Tamparuli menunggu janji itu ditunaikan sepanjang tempoh lima tahun ini.

"Kami tidak nampak apa-apa perubahan. Cakap mahu beri lampu jalan di simpang masuk kampung kami... Kami tunggu tetapi tiada," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Pada PRU13, Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Datuk Wilfred Bumburing menang kerusi DUN Tamparuli atas tiket PKR pada ketika itu dengan memperoleh majoriti 383 undi.

Dalam pada itu, Danish berkata Tamparuli mahukan pemimpin yang benar-benar prihatin dan berjiwa rakyat kerana daerah itu masih memerlukan banyak prasarana termasuk kemudahan jalan raya berturap dan lampu jalan demi keselesaan penduduk.

Beliau berkata gandingan antara calon BN DUN Tamparuli Datuk Jahid Jahim dengan calon BN Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau diyakini mampu membawa perubahan itu seterusnya memacu pembangunan Tamparuli.

"Kami tengok Datuk Madius rajin bekerja dan dia boleh bawa suara rakyat... Begitu juga Datuk Jahid pun seorang pemimpin yang bagus dan sentiasa prihatin terhadap orang susah," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Tamparuli yang ingin dikenali sebagai Mikael, 33, berkata kerajaan dan pemimpin yang prihatin serta peka untuk membawa pembangunan berkesan di Tamparuli adalah penting bagi memastikan daerah yang turut menjadi tumpuan pelancong itu terus diberi perhatian sekali gus memacu sektor pelancongannya ke tahap lebih tinggi.

"Tamparuli terkenal dengan jambatan ikonik iaitu Jambatan Tamparuli yang turut disebut dalam lirik sebuah lagu tempatan.

"Justeru, pemimpin yang seharusnya dipilih mewakili daerah ini mestilah seorang berpandangan jauh, ada visi dan misi memastikan pelancongan Tamparuli ditingkatkan kerana pastinya ia membantu menjana ekonomi penduduk," katanya.

Mikael berkata Tamparuli cukup dikenali tidak hanya menerusi Jambatan Tamparuli tetapi juga tamu (pasar) pada Rabu menjadikan ia destinasi mesti dikunjungi bagi mereka yang ingin melihat keunikan serta keramahan masyarakat berbilang kaum di daerah itu.

Bagaimanapun, Mikael berkata, Tamparuli terutama pekannya yang dilihat pada hari ini seperti tidak mencapai jangkaan pengunjung kerana kawasan sekitar seolah-olah terbiar dan tidak ada keceriaan.

"Saya amat berharap wakil rakyat akan datang lebih prihatin melonjakkan keistimewaan Tamparuli selain menyediakan kemudahan awam seperti lorong pejalan kaki dan taman awam bukan sahaja untuk penduduk tetapi juga pengunjung," katanya.

Pandangan sama diberikan Vivianna Raymond, 22, dari Kampung Botong yang berkata, Tamparuli sering menjadi tempat persinggahan sebelum pengunjung meneruskan perjalanan ke destinasi pelancongan seterusnya di Sabah.

Dalam pada itu, Vivianna berkata, kerajaan dan pemimpin BN diyakini mempunyai kemampuan menyediakan infrastruktur rakyat selain sentiasa komited membantu rakyat memerlukan.

BERNAMA