17
Sel, Sep

Anggota Tentera, Polis Mengundi Awal Di Sabah

Sabah
Typography

PUTATAN - Seramai 3,702 warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Lok Kawi di sini, membabitkan anggota pelbagai pangkat, pesara dan pasangan menjalani proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), hari ini.

Walaupun proses pengundian hanya bermula jam 8 pagi, warga ATM sudah hadir seawal jam 7 pagi untuk menunaikan tanggungjawab mereka di pusat mengundi Sekolah Agama Rakyat Kem Lok Kawi di sini.

 

Turut melaksanakan pengundian awal ialah Panglima Markas 5 Briged, Brigadier Jeneral Datuk Mohd Anuar Rijaludin dan isteri, Datin Siti Rosma Jalina Abdul Rahman.

 

Mereka mengundi bagi kerusi Parlimen Putatan dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Petagas dan Tanjung Aru.

Sementara itu, seramai 10,227 pegawai dan anggota polis di Sabah melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi awal hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din, berkata daripada jumlah itu, seramai 1,681 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah yang mengundi di tiga saluran di Mes Pegawai Kanan IPK Sabah.