17
Sel, Sep

29 Kertas Siasatan Dibuka Di Sabah

Sabah
Typography

KOTA KINABALU - Polis Sabah sudah membuka 29 kertas siasatan sepanjang lapan hari tempoh berkempen sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), bermula 28 April lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din, berkata siasatan membabitkan kes khianat, pencerobohan, fitnah dan tipu.

 

"Kita turut membuat kertas siasatan membabitkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 dan setakat hari ini, 29 kes yang sudah dibuka kertas siasatan.

 

"Bagaimanapun, semua kes itu masih dalam siasatan," katanya ketika ditemui selepas proses pengundian awal anggota polis di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Razarudin Husain @ Abd Rasid.

Berkaitan perkembangan siasatan kes laporan mengenai dakwaan wang tunai RM870,00 milik parti USNO yang didakwa hilang, Ramli berkata, siasatan masih dijalankan oleh pasukan khas dan setakat ini belum ada tangkapan dilakukan.

"Kita sudah merakam kenyataan beberapa individu dan sekarang ini, fakta sedang dikumpul. Ia mengambil masa kerana banyak individu yang terbabit dalam kes berkenaan.

"Namun faktanya tidak lari, bahawa wang tunai RM870,000 itu tidak wujud," katanya.

Pada 28 April lalu, seorang Ahli Majlis Tertinggi USNO membuat laporan polis mendakwa wang tunai RM870,000 milik parti itu untuk bayaran deposit calon bertanding pada PRU-14 hilang dilarikan pemimpin kanan parti terbabit.

Kejadian itu didakwa berlaku pada petang 27 April lalu, sehari sebelum hari penamaan calon apabila lelaki berusia 38 tahun itu dikatakan gagal hadir bersama wang berkenaan ke pejabat SPR.

Bagaimanapun, Ramli dalam sidang media beberapa hari lalu, menjelaskan siasatan mendapati wang terbabit tidak wujud seperti didakwa.

BH ONLINE