17
Sel, Sep

Lebih 3,000 Warga Pangkalan TLDM Sepanggar Mengundi Awal

Sabah
Typography

SEPANGGAR - Seramai 3,009 warga Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu di sini, menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi awal Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), hari ini.

Ia membabitkan 2,078 pegawai dan anggota daripada tiga cabang perkhidmatan serta pasangan mereka dan penjawat awam yang bertugas di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.

 

Mereka menunaikan tanggungjawab mulai jam 8 pagi di lima saluran pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.

 

Turut hadir melaksanakan proses undi awal ialah Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Syed Zahiruddin Putra Syed Osman dan isteri, Datin Mariam Suri Ahmad.

Mereka mengundi bagi kerusi Parlimen Sepanggar serta dua Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan itu iaitu Karambunai dan Inanam.

Parlimen Sepanggar menyaksikan saingan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan; Datuk Mohd Azis Jamman (Parti Warisan Sabah), Robert Sopining (Parti Cinta Sabah) dan Jeffrey Kumin (Parti Maju Sabah).

BH ONLINE