17
Sel, Sep

Rakyat Sabah, Sarawak Tolak Politik Adu Domba

Sabah
Typography

SEPANGGAR - Pakatan pembangkang diketuai DAP tidak mampu 'mencairkan simpanan tetap' Barisan Nasional (BN) di Sabah dan Sarawak kerana rakyat kedua-dua negeri itu menolak politik adu domba dan tuduh menuduh.

Setiausaha BN Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata rakyat Sabah dan Sarawak mahukan politik matang yang dapat membangunkan negeri dan ia sudah pun dilaksanakan kerajaan BN.

 

"Mereka (pembangkang) tidak bercakap mengenai dasar pembangunan dan masa depan negara, apa yang ada ialah sesi ceramah mencemuh, mengadu domba dan menuduh kerajaan.

 

"Ini adalah politik yang tidak sihat dan rakyat Sabah sudah tentu terang-terangan menolak politik mereka," katanya kepada media selepas meninjau proses pengundian awal di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu di sini, hari ini.

Malam tadi, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu ceramah di Melaka dilaporkan berkata, pakatan pembangkang boleh membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) jika memenuhi tiga syarat, termasuk memecahkan 'simpanan tetap' BN di Sabah dan Sarawak.

Beliau dilaporkan berkata, kebangkitan pengundi ketara termasuk di Sabah yang mana sokongan terhadap konsep 'ubah' semakin kuat.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman yang juga calon BN Parlimen Sepanggar, berkata cabaran daripada pembangkang di Sabah kali ini lebih hebat pada PRU-13 lalu, namun Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bukan pemimpin terbaik untuk menerajui slogan 'ubah'.

"Saya lebih menghormati (Datuk Dr) Jeffrey Kitingan (Presiden Parti Solidariti Tanah Airku), walaupun tidak bersetuju dengan perjuangan politiknya. Shafie pula hanya mahu menjadi ketua menteri," katanya.

Mengenai kehadiran Tan Sri Rafidah Aziz dalam ceramah pembangkang di Melaka malam tadi, beliau berkata, bekas Ketua Wanita UMNO itu seorang yang tidak dapat menerima kenyataan.

"Inilah penyakit di negara kita, sudah bersara tapi masih tidak boleh terima kenyataan. Mereka (pembangkang) buat tuduhan kepada Perdana Menteri, tetapi mereka juga terpalit dengan isu skandal rasuah sampai ada yang ditangkap dan didakwa (di mahkamah)," katanya.

Mengulas kempennya di Sepanggar, Abdul Rahman yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, Sepanggar masih kubu kuat BN kerana parti itu mempunyai perancangan yang realistik untuk kepentingan penduduknya.

BH ONLINE