26
Rab, Feb

Tiada Pembaharuan Dibuat Parti Pembangkang Di DUN Klias- Isnin

Sabah
Typography

BEAUFORT - Selepas lima tahun kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias dipegang pihak pembangkang, tiada pembaharuan yang dibawa ke kawasan itu.

Ketua UMNO Bahagian Beaufort Datuk Isnin Aliasnih berkata ia membuktikan kegagalan pembangkang untuk memenuhi kehendak rakyat yang mahukan pembangunan.

"Pihak pembangkang telah menang sepenggal tetapi tiada pembangunan yang dibawa dan saya percaya rakyat di sini sudah dapat menilai parti mana yang boleh membantu mereka," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Isnin yang juga calon BN bagi DUN Klias pada pilihan raya umum ke-14 yakin rakyat di Klias akan tetap bersama 'warna biru' malah sokongan kepada BN semakin bertambah.

Beliau berkata walaupun pelbagai isu dimainkan pihak pembangkang untuk menarik undi namun penduduk di kawasan itu tidak mudah termakan dengan hasutan.

Malah beliau berkata pertembungan dengan pihak lawan pada kali ini yang juga presiden parti pembangkang di anggap 'cantik'.

"Saya tidak gentar walaupun berdepan dengan seorang presiden parti malah pertembungan itu sangat 'cantik',”katanya.

Isnin juga bertekad untuk merampas kembali kerusi DUN Klias yang disandang Datuk Seri Lajim Ukin yang kini merupakan presiden Parti Harapan Rakyat.

Dalam pilihan raya umum ke-14 ini, selain berdepan Lajim, Isnin turut berdepan dengan Johair Mat Lani dari Parti Warisan Sabah (Warisan).

BERNAMA