12
Ahd, Jul

Pembinaan Kompleks Pusat Islam Libaran Tingkatkan Syiar Islam - Musa

Sabah
Typography

SANDAKAN - Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Haji Aman berkata pembinaan Kompleks Pusat Islam Libaran yang terletak di Jalan Sungai Kayu, Batu 7 akan meningkatkan Syiar Islam untuk terus berkembang pesat di Sandakan khususnya dan negeri Sabah amnya.

Beliau berkata, pusat itu juga akan menjadi mercu tanda kegemilangan Islam sekaligus bakal menjadi tempat tarikan pelancong Islam dan bukan Islam.

Katanya, ia dibangunkan dengan gabungan keunikan rekabentuk ciri kotemporari dan susunan moden kesenian tamadun Islam antarabangsa yang bukan sahaja memberikan peluang kepada masyarakat Islam mendalami bidang agama tetapi memartabatkan perkembangan Islam itu sendiri.

“Menjadi agenda dan hasrat saya dalam membangunkan Syiar Islam di negeri ini supaya membantu anak-anak muda terutamanya untuk menuntut ilmu tanpa pergi jauh.

“Inilah hasrat kita dalam membangunkan modal insan dan merupakan keutamaan pihak kerajaan ... kita bukan saja menumpukan pembangunan fizikal tetapi aspek kerohanian juga turut diberikan perhatian.

“Syukur alhamdulillah hasrat ini akhirnya menjadi kenyataan dan kompleks berkenaan akan menjadi mercu tanda dan simbol keagungan Islam sekaligus memartabatkan agama Islam di Sabah khasnya.

“Ini kerana pelbagai kemudahan yang disediakan dan sudah tentu memberikan peluang kepada masyarakat untuk mendalami ajaran Islam yang secara tidak langsung memberi satu dorongan untuk mendekati diri kepada Allah SWT,” jelasnya.

Musa menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Kompleks Pusat Islam Libaran, dekat sini, kelmarin.

Kompleks Pusat Islam Libaran ini menyediakan infrastruktur yang lengkap seperti Masjid serba moden, Dewan Serbaguna yang selesa, Dewan untuk kegunaan acara perkahwinan, Maahad Tahfiz Al – Quran, Penginapan anak-anak yatim dan Bilik-bilik kuliah serta latihan.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri berkata apabila pusat itu siap nanti memberikan peluang menjemput para ulama untuk menyampaikan ceramah agama berkaitan ilmu Islam.

Harapannya agar masyarakat Islam memanfaatkan kompleks yang dibina semata-mata melahirkan modal insan cemerlang dari segi jatidiri.

“Pembinaan kompleks ini juga bukti keprihatinan kerajaan negeri yang sentiasa menekankan pembangunan fizikal dan kerohanian demi pembangunan modal insan.

“Satu lagi cabang pendidikan seperti mana kita wujudkan Hub Pendidikan di Batu 10 yang membantu anak-anak untuk menuntut ilmu tanpa pergi jauh.

”Oleh yang demikian, manfaatkan sebaik-baiknya pembinaan pusat ini yang diwujudkan antara lain membantu masyarakat Islam untuk meningkatkan ilmu agama,” ujarnya selaku calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Sungai Sibuga itu.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) Haji Yusof Abd Abbas berkata Kompleks Pusat Islam Libaran ini diilhamkan sendiri oleh YAB Ketua Menteri setelah melihat keperluan pembangunan fizikal seperti perumahan, perniagaan, perindustrian, perladangan, pertanian dan pendidikan di daerah Sandakan yang begitu rancak dan pesat.

Katanya, ia perlu diimbangkan dengan faktor kerohanian, keagamaan dan ketamadunan manusiawi maka berdirinya kelak kompleks ini akan menjadi mercu tanda kegemilangan perkembangan Islam di sini.

“Kewujudan kompleks ini seiring dengan penganugerahan Sandakan sebagai Bandaraya Hijau dan ditambah lagi penaiktarafan Lapangan Terbang antarabangsa Sandakan akan memacu lagi eko pelancongan dan eko perniagaan seterusnya akan menjulang nama Sandakan di persada antarabangsa,” tambahnya.

Turut hadir calon BN Parlimen Libaran, Datuk Zakaria Haji Mohd Edris; calon BN Gum-Gum, Datuk Juslie Haji Ajirol; calon BN Sekong, Datuk Samsudin Yahya dan calon BN Elopura, Chan Tzun Hei sert isteri Ketua Menteri iaitu Datin Seri Hajah Faridah Tussin termasuk dif-dif kenamaan yang lain.

NEW SABAH TIMES

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.