26
Rab, Feb

UTC Keningau Beri Banyak Manfaat Kepada Rakyat

Sabah
Typography

KENINGAU – Pusat Transformasi Bandar (UTC) merupakan antara manifestasi Kerajaan BN yang sentiasa mencari idea, merancang dan seterusnya melaksanakan dasar-dasar dan program-program inisiatif yang membantu rakyat.

Demikian ucapan pembukaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika merasmikan bangunan UTC Keningau, di sini, hari ini.

Najib dalam ucapannya turut berkata, adalah menjadi keutamaan baginya untuk memberi satu sistem penyampaian perkhidmatan yang selesa kepada rakyat serta melonjakkan sistem ini ke arah yang lebih tinggi setanding dengan kerancakan pembangunan negara.

“Kita mahu rakyat lebih yakin dan selesa dengan segala perkhidmatan yang disampaikan..betapa selesanya kita untuk mendapatkan pelbagai perkhidmatan di bawah satu bumbung.

“UTC ini sememangnya merupakan idea yang sangat inovatif sehingga setakat hari ini, tidak ada mana-mana negara yang mampu mewujudkan UTC mereka sendiri sebagaimana yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Dalam pada itu, Najib turut mengumumkan akan menambah satu lagi UTC di daerah Sandakan bagi menampung keperluan rakyat di seluruh pelusuk negeri Sabah.

Ini menunjukkan bahawa, Negeri Sabah bakal mempunyai empat buah UTC di seluruh negeri menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai negeri yang terbanyak mempunyai pusat transformasi tersebut.

Terdahulu, dalam teks ucapan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman yang dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata, manfaat yang diperolehi oleh rakyat Sabah dengan adanya UTC ini amat berguna.

Ianya ditunjukkan melalui nilai purata sebanyak lima ribu pengunjung datang ke UTC Keningau dalam tempoh sebulan beroperasi.

“Jelas menunjukkan UTC ini mendapat sambutan yang baik dari rakyat..kita sangat bertuah kerana mempunyai pemimpin yang sangat prihatin kepada rakyat dan pembangunan Negeri Sabah khususnya,” katanya.

Musa turut berkata, konsep perkhidmatan yang diberikan UTC ini adalah satu inovasi yang tidak pernah dibuat oleh mana-mana kerajaan di dunia. Maka wajarlah kepimpinan di bawah Kerajaan Barisan Nasional ini diberi pengiktirafan dan dijadikan rujukan sebagai satu-satunya model perkhidmatan penyampaian terbaik di dunia.