19
Rab, Feb

Rakyat Sentiasa Dapat Terima Transformasi Pendidikan Negara – Mary Yap

Sabah
Typography

Tawau – Kerajaan sentiasa berusaha memantapkan sistem pendidikan negara dalam pelbagai pendekatan secara menyeluruh.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching berkata langkah-langkah ini meliputi semua peringkat baik prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah mahupun ke peringkat pendidikan tinggi.

“Program Jelajah Pendidikan anjuran kementerian sentiasa berkongsi sejauhmana pencapaian, kejayaan dan aktiviti bagi setiap pelajar di bawah sistem pendidikan alaf baharu.

“Kita boleh lihat sendiri cara anak-anak belajar melalui pelbagai program pelajar yang di bawa khas dari pelbagai jenis sekolah yang ada di negara kita,” katanya ketika berucap semasa merasmikan Program Jelajah Pendidikan Kementerian Pendidikan di eastern Plaza, semalam.

Yap turut memaklumkan bahawa program transformasi pendidikan negara ini penting bagi memenuhi kehendak rakyat khususnya ibu bapa yang ingin melihat sistem pendidikan negara kita mencapai di tahap yang tinggi.

“Ibu bapa kini beri perhatian serius terhadap keupayaan sistem pendidikan negara kerana mereka berharap lahirnya generasi muda berakhlak, dan berilmu sekaligus mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.” katanya lagi.

Sebelum ini, Program Jelajah Pendidikan yang diadakan selama dua hari telah dilaksanakan tahun lepas di Kota Kinabalu, Penampang dan Tuaran. Setiap jelajah mendapat sambutan yang baik di kalangan pelajar dan mahasiswa.

Kini program tersebut telah di bawah ke Pantai Timur Sabah iaitu di Tawau, Semporna dan Kunak. Mary Yap berharap orang ramai mengambil peluang ini kerana banyak agensi dan jabatan kerajaan turut terlibat untuk menyalurkan sebarang maklumat yang diperlukan rakyat.