04
Jum, Dis

ESSCOM TEGAS TIADA KEKERASAN SEPANJANG OPERASI PENDATANG HARAM DI ESSZONE

Sabah
Typography

Lahad Datu: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOMM) menafikan dakwaan bahawa ia menggunakan kekerasan semasa operasi bersepadu besar-besaran yang berlangsung sekarang untuk membanteras pendatang haram di Zone Selamat Pantai Timur (ESSZONE). Komander Esszone DCP Datuk Abu Rashid Harun berkata pasukan keselamatan di bawah Esscom tidak meminggir atau memberi layanan berbeza kepada pemilik perniagaan atau pendatang haram ketika menjalankan tugas. Tanggungjawab itu dilaksanakan mengikut prosedur standard seperti yang diperuntukkan undang-undang. Mereka juga akan menjalankan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasa lain seperti Imigresen, Jabatan kastam DiRaja Malaysia dan agensi kerajaan negeri yang berkaitan. Beliau turut menasihatkan agar pihak yang tidak berpuas hati dengan mana-mana operasi Esscom untuk membuat laporan polis atau kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan membawa bukti yang berkaitan supaya tindakan sewajarnya boleh diambil. Beliau turut menegaskan bahawa Esscom menggunakan pendekatan mesra perniagaan dalam mengatasi masalah pendatang haram di Esszone. Walaubagaimanapun mereka tidak akan bertolak-ansur berhubung perkara yang berkaitan dengan keselamatan Negara. Ini adalah kerana objektif teras Esscom adalah untuk menjamin keselamatan kegiatan sosioekonomi di Esszone. Penerangan ini dibuat bagi mengulas kenyataan Presiden Dewan Perniagaan Cina Tawai, Lo Su Fui yang mendakwa petugas Esscom bertindak tidak professional dalam menjalankan operasi di Esszone.