20
Ahd, Sep

Kematian Dilaporkan Di Gunung Kinabalu

Sabah
Typography

KUNDASANG: Terdapat kematian dilaporkan di Gunung Kinabalu selepas gempa bumi bermagnitud 5.9 pada skala Richter menggegarkan beberapa kawasan di Sabah, semalam.

Perkara itu disahkan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun melalui laman Twitter beliau.

"Dengan amat dukacita saya hendak memaklumkan bahawa ada kematian di Gunung Kinabalu," katanya sambil menambah bahawa butirannya akan diumumkan pada hari ini.

Sementara itu, dua mayat telah dibawa turun ke Pondok Timpohon di tapak pendakian Gunung Kinabalu iaitu gunung tertinggi di Asia Tenggara, kira-kira 8.30 malam pada Jumaat.

Seorang daripada mangsa ialah malim gunung bernama Rubbi Sapinggi, 30, dan seorang lagi ialah wanita warga asing.

Gempa bumi yang berlaku pada 7.15 pagi di daerah Ranau itu juga menyebabkan gempa susulan di lokasi-lokasi seperti Kota Kinabalu, Tambunan, Pedalaman, Tuaran dan Kota Belud.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia berkata, gegaran lemah dirasai di Ranau pada 11.13 malam dan 11.32 malam pada Jumaat.

Gegaran itu bermagnitud, masing-masing 4.3 dan 2.8 pada skala Richter.

Petugas media dan anggota lain yang berkumpul di pusat operasi ditubuhkan di Taman Kinabalu, yang menjadi pintu masuk ke gunung itu di Kundasang, dilihat bergegas lari untuk menyelamatkan diri. - Bernama

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.