25
Rab, Nov

SPRM Sedia Bantu ESSCOM Tingkat Integriti, Sifar Rasuah

Sabah
Typography

KOTA KINABALU – Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata pihaknya bersedia membantu Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) meningkatkan integriti dan membanteras rasuah dalam kalangan kakitangan awam, khususnya di bahagian penguatkuasaan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Beliau turut memandang serius masalah melibatkan integriti, dan bertekad membersihkan jentera awam bahagian penguatkuasaan ESSZone daripada masalah itu.

“SPRM bersedia membantu meningkatkan integriti seterusnya membanteras rasuah dan berharap penguatkuasaan tegas mampu mengatasi permasalahan tersebut.

“Ini juga bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara tidak dikompromi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Timbalan Pengarah Perisikan ESSCom ASP Hashim Justin berkata pihaknya dengan kerjasama SPRM akan melancarkan operasi besar-besaran bagi membanteras masalah integriti dalam kalangan kakitangan awam, khususnya di bahagian penguatkuasaan ESSZone, pada Selasa.

Mohd Shukri yang menyambut baik saranan Hashim itu, turut memaklumkan SPRM telah mengambil langkah menempatkan pegawai di kawasan Lahad Datu, dengan harapan ia menyumbang kepada usaha mencegah dan membanteras rasuah dalam jangka panjang.