03
Kha, Dis

APMM Selamat Lima Mangsa Dalam Kejadian Dua Bot Berasingan

Sabah
Typography

TAWAU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau berjaya menyelamatkan lima penumpang sebuah bot persendirian yang karam di perairan selatan Bohey Dulang Semporna, dekat sini hari Ahad.

Ketua Penguatkuasa APMM Tawau Kapten Anor Jaafar berkata pihaknya menerima maklumat daripada Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCom) mengenai kejadian bot karam itu pukul 10.40 pagi.

"Bot peronda APMM kemudian diarahkan ke lokasi kejadian. Setibanya di lokasi kejadian pada jam lebih kurang 10.50 pagi, pasukan peronda berjaya menemui dan menyelamatkan lima mangsa warga tempatan iaitu empat lelaki dan seorang wanita berumur di antara tujuh dan 30 tahun," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan dan cuaca buruk serta keadaan laut bergelora menyebabkan bot berkenaan terbalik sebelum karam. Katanya kesemua mangsa telah dibawa ke jeti Semporna untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Anor berkata pihaknya sentiasa bersedia memberikan bantuan keselamatan dan kecemasan pada bila-bila masa khususnya kepada komuniti maritim.

Beliau turut menasihatkan komuniti maritim sentiasa mengutamakan keselamatan semasa berada di laut dan melaporkan segera kepada APMM sekiranya berhadapan dengan masalah di laut dengan menghubungi talian MERS 999 atau 089- 750115.

Dalam satu kejadian berasingan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kota Kinabalu menyelamatkan lima pelancong asing dan dua kru bot penyelam selepas bot yang dinaiki mereka mengalami kerosakan enjin ketika dalam perjalanan ke Pulau Mantanani, Kota Belud, semalam.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah Kota Kinabalu, Kapten Maritim Zin Azman Md Yunus berkata usaha menyelamat berkenaan dilaksanakan pada jam 5.05 petang selepas menerima panggilan kecemasan daripada pengemudi bot berkenaan pada 12.30 tengah hari.

“Keadaan laut berombak setinggi tiga hingga lima meter menyukarkan APMM menjalankan pencarian namun kerjasama dengan pihak Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah berjaya mengenal pasti kedudukan bot terbabit yang berada kira-kira 4.9 batu nautika dari Kuala Abai,” katanya dalam satu kenyataan di sini Ahad.

Beliau berkata lima pelancong asing dan dua kru bot yang berumur antara 20 hingga 40 tahun itu dipindahkan ke bot penyelamat manakala bot penyelam yang rosak ditunda dan dibawa ke pusat Peranginan Manana Borneo Resort di Kampung Pituru Laut, Kuala Abai, Kota Belud.

 

Sumber - Bernama