08
Rab, Apr

Diharapkan Lebih Banyak Penyumbang Air Minuman Di Daerah Kota Belud

Sabah
Typography

KOTA BELUD: Daerah ini dilanda masalah bekalan air bersih yang mungkin akan berpanjangan akibat banjir lumpur, Kata Presidan Pertubuhan Saudara Baru Islam Malaysia (KeIslam) Dr. Fariz, kelmarin.

"Masalah ini adalah susulan kejadian gempa bumi Ranau baru-baru ini diikuti pula dengan banjir lumpur yang melanda daerah Kota Belud dan Ranau. Hakisan lumpur datang dari Gunung Kinabalu itu sendiri yang mengalir terus ke dalam Sg Kedamaian.

"Air sungai telah bercampur dengan lumpur yang berlalu tebal dan sukar untuk dirawat. Masalah ini akan berlarutan dalam jangka masa yang tidak dapat ditentukan bergantung kepada keadaan cuaca," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika mengadakan kunjungan hormat dan penyerahan bantuan banjir kepada Pegawai Daerah Kota Belud Hj Abdul Gari Itam.

Faris berkata, walaupun Kota Belud dilengkapi dengan tiga logi penapis tetapi dua daripadanya mengambil air dari sungai yang sama. Daerah ini terpaksa bergantung pada bekalan dari hanya satu sahaja lagi loji yang sudah pasti tidak dapat menampung bekalan daerah.

Dalam pada itu katanya, catuan air terpaksa dijalankan sebagai langkah berjimat oleh pihak Pejabat Daerah, Dengan itu, kekurangan air bersih berlaku lebih lama daripada yang dijangkakan.

"KeIslam berharap agar lebih banyak badan NGO sudi menghulurkan bantuan terutamanya air bersih kepada daerah ini. KeIslam melalui badan amalnya Amal Harmoni telah menyerahkan sumbangan air bersih kepada pihak Pejabat Daerah dalam pertemuan itu,"katanya.

Beliau brharap dengan bantuan itu dapat meringankan bebanan dan penderitaan yang dialami terutama pihak pegawai daerah yang terpaksa bertungkus lumus membaiki kemudahan yang telah rosak akibat banjir selain menyediakan bekalan air bersih kepada penduduk daerah ini terutama kawasan luar bandar yang dilanda teruk banjir lumpur.

Sumber - Borneo Post